Kenyataan AirAsia: AirAsia ambil langkah bendung kos bagi mengurangkan kesan kepada kakitangan

SEPANG, 9 Mac 2020 - Industri pengangkutan udara kini masih menghadapi ketidakpastian berikutan wabak Covid-19. Justeru, Kumpulan AirAsia telah mengambil beberapa langkah untuk membendung kos di seluruh operasi perniagannya bagi mengurangkan kesan kepada kakitangannya, di samping memastikan kesinambungan perniagaan dengan mengutamakan operasi keselamatan penerbangan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia Bo Lingam, berkata: “Langkah-langkah untuk membendung dan menguruskan kos merupakan perkara yang tidak asing lagi bagi sebuah syarikat penerbangan tambang rendah, dan inilah satu kualiti yang membezakan kami dengan syarikat penerbangan lain. Kami memulakan perniagaan selepas beberapa bulan tragedi Pusat Dagangan Dunia New York pada 11 September 2001, dan sejak itu AirAsia telah memberi impak yang besar kepada industri penerbangan dengan memperkenalkan model perniagaan tambang rendah untuk semua. Epidemik SARS pada tahun 2002, H1N1 (2009) Ebola (2014), MERS-CoV (2015) serta pelbagai insiden termasuklah tsunami, letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir dan taufan bermusim, telah memberikan impak negatif terhadap industri pelancongan. Akan tetapi, kami masih bertahan dengan mengambil langkah mendisiplinkan kos dan strategi pemasaran yang efektif, seterusnya mencatatkan pertumbuhan penumpang yang positif saban tahun.

“Wabak Covid-19 yang telah menyebabkan sekatan perjalanan dan pembatalan penerbangan ini tiada bezanya, walaupun ia memberi impak kepada ekonomi global yang semakin lemah sejak 18 bulan yang lalu. Sebagai sebuah syarikat penerbangan, AirAsia diakui terjejas dengan permintaan yang semakin berkurang pada beberapa bulan lalu, dan seperti syarikat penerbangan lain, kami terpaksa membatalkan banyak penerbangan, bukan sahaja untuk China, tetapi destinasi-destinasi lain juga. Akibatnya, walaupun kami mempunyai aliran tunai yang positif dan boleh bergantung kepada model pendapatan sampingan, kami perlu berani untuk mengurangkan kos, memelihara dana dan melindungi masa depan syarikat penerbangan ini.”

Bo yakin bahawa langkah membendung kos ini akan membawa kesan yang minimum kepada kakitangan AirAsia, terutamanya kakitangan yang berpendapatan rendah.

Bo menambah: “AirAsia akan terus memantau perkembangan terkini dan melaksanakan langkah pemasaran yang lebih agresif serta strategi bagi menerapkan keyakinan untuk terbang semula di kalangan orang awam. Untuk terus merangsang industri pelancongan tempatan dan serantau, kapasiti kami kini telah disusun atur semula ke laluan domestik serta intra-Asean. Kami juga akan meneruskan usaha untuk berhubung dengan semua pihak berkepentingan dan pihak berkuasa dalam industri pelancongan untuk membincangkan insentif serta peluang kerjasama dari segi pemasaran dan promosi.”

M ASepang