Santan Pelopori Pembungkusan Mesra Alam Dalam Penerbangan
Krew kabin AirAsia dengan barangan penerbangan mesra alam yang baru, diperbuat daripada Asid Polilaktik (PLA), bahan biodegradasi yang diperoleh daripada sumber seperti jagung dan ubi kayu.
KUALA LUMPUR, 21 APRIL 2025 – Santan, jenama makanan dan minuman di bawah Capital A, dengan bangga mengumumkan penggunaan bahan mesra alam untuk menggantikan plastik sekali guna. Semua barangan pakai buang dalam penerbangan seperti cawan, penutup dan alatan makan kini diperbuat daripada Asid Polilaktik (PLA), bahan yang datang daripada sumber semulajadi seperti jagung dan ubi kayu.
Kerjasama dengan Rightway New Material membolehkan Santan menggunakan PLA, yang lebih cepat terurai berbanding plastik biasa. Kajian menunjukkan PLA boleh terurai lebih daripada 90% dalam kemudahan pengkomposan, sementara plastik biasa mengambil ratusan tahun untuk hancur. Cawan bersalut PLA keluaran Santan juga boleh dikompos di rumah, memberi pilihan pelupusan yang lebih mesra alam kepada penumpang.
Langkah ini mula dilaksanakan di Malaysia dan Thailand dan akan diperluaskan ke seluruh rangkaian kumpulan AirAsia yang melibatkan tujuh syarikat penerbangan.
Dengan peralihan ini, Santan menunjukkan komitmennya untuk melindungi alam sekitar tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan. Ia juga menjadi contoh kepada syarikat makanan lain bahawa tindakan mesra alam adalah sesuatu yang boleh dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh berkata, “Di Santan, setiap penerbangan adalah peluang untuk menyediakan hidangan berkualiti sambil memberi kesan positif kepada alam sekitar. Langkah peralihan kepada pembungkusan PLA ini adalah penting dalam menangani masalah sisa plastik dalam industri. Dengan perubahan ini, AirAsia dijangka dapat mengurangkan 500 tan karbon setiap tahun hanya di Malaysia dan Thailand. Kami berharap ini dapat menjadi satu inspirasi kepada semua untuk turut membuat perubahan demi planet kita.”
Santan juga menggabungkan penggunaan alatan makan boleh kompos ini dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menguruskan sumber makanan dengan lebih baik. Pendekatan berteknologi tinggi ini membantu mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi serta rantaian bekalan.
TAMAT
Krew kabin AirAsia dengan cawan mesra alam yang baru, diperbuat daripada Asid Polilaktik (PLA), bahan biodegradasi yang diperoleh daripada sumber seperti jagung dan ubi kayu.
Media contact : Aziz Laikar | azizlaikar@airasia.com