Ke arah masa depan digital inklusif dengan OKU berkemahiran digital
Pembangunan teknologi di Malaysia kembali pesat pasca Covid-19 dengan memperlihatkan impak yang signifikan terhadap pasaran tenaga kerja. Permintaan kini hangat terhadap tenaga kerja digital dengan pemahaman tersedia terhadap teknologi digital atau kemahiran asas digital yang boleh dipindah guna.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, sudah tiba masanya jurang itu dipenuhi dengan sumber tenaga yang lebih inklusif dengan membuka peluang kepada golongan minoriti dan terpinggir serta orang berkelainan upaya (OKU).
Berdasarkan statistik OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertarikh 31 Disember 2022, terdapat seramai 633,653 OKU berdaftar di seluruh negara. Jumlah itu mewakili potensi sumber manusia yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri tempatan dan serantau sebagai persiapan ke arah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Kesedaran terhadap meningkatkan kemahiran atau memahirkan semula warga OKU dalam bidang digital yang masih rendah ini memacu misi airasia academy untuk menawarkan kursus teknologi digital berakreditasi menerusi program latihan pengajar diterajui atau Instructor-Led Training (ILT) dan pembelajaran fleksibel On-Demand Learning (ODL). Program tersebut dibangunkan bersama pakar bidang teknologi dan tenaga pengajar berpengalaman dengan sokongan Kerajaan dan agensi-agensinya.
Sebagai penyedia teknologi pendidikan, kepimpinan dan inovasi sehenti, airasia academy komited dalam meningkatkan dan memahirkan semula tenaga kerja negara menerusi latihan teknologi dan lain-lain untuk merapatkan jurang bakat ekoran permintaan yang kian melonjak. Dengan mementingkan aspek inklusif, mudah diakses dan mampu milik, airasia academy memberi peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang termasuk golongan minoriti berstigma seperti OKU. Ini supaya mereka dapat mengakses ekosistem e-pembelajaran bagi mengikuti kursus-kursus digital dan meningkatkan peluang mereka di pasaran kerja.
“Revolusi Industri 4.0 akan memperkasakan kami yang berkelainan upaya.” - Birgit Skarstein, Atlet Paralimpik dua kali dan Juara Rowing Dunia, Norway
Program ILT membuka peluang saksama kepada OKU dengan sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Peneraju dan Majlis Belia OKU (MBOKU). Program biasiswa penuh ini bukan sahaja membantu warga OKU malah wanita dari kumpulan B40, ibu atau bapa tunggal, graduan universiti dan golongan penganggur untuk meningkatkan kemahiran atau melatih semula diri menerusi kursus Analisis Data, Pemasaran Digital, Kejuruteraan Perisian, Infrastruktur Awam dan Keselamatan Siber.
Semangat dua orang kelainan upaya untuk menguasai kemahiran teknologi
Adam Ikmal Zarin Ikmal, 26, mempunyai masalah pertuturan selepas dua kali diserang angin ahmar. Adam mengalami kelumpuhan di kedua-dua belah badan akibat darah beku di bahagian kiri dan kanan otak menyebabkan komplikasi fizikal, penglihatan dan pertuturan. Setelah menjalani sesi rawatan pemulihan selama berbulan-bulan berbekalkan keazaman jitu, Adam kini mampu mengembalikan fungsi fizikalnya melalui rutin berkala.
Kehidupan Adam kini melibatkan latihan terapi pertuturan di hadapan cermin dan bekerja sehingga lewat malam sebagai pemandu airasia ride. Walaupun masih bergelut dalam pertuturan, Adam meneruskan kehidupan dengan membuat sesuatu yang digemari iaitu mengenali dan membantu orang di sekeliling melalui pekerjaannya. Sewaktu bertugas, Adam diberi kesempatan membawa Presiden (Pelaburan & Usahaniaga) Capital A, Aireen Omar sebagai penumpang. Pertemuan itu menjadi titik tolak kepada tekadnya untuk menguasai kemahiran teknologi digital.
“Aireen meyakinkan saya bahawa data penting untuk masa depan dan akan menjadi keperluan seperti Microsoft Office,” kata Adam.
Adam menyimpan minat mendalam terhadap teknologi sejak usia muda. Bakatnya dalam penggunaan komputer terserlah pada umur 12 tahun dan beliau menanam keinginan untuk menyertai industri berkaitan teknologi. Malah, sebagai penggemar e-sukan, Adam belajar mengenai coding (pengekodan) komputer dari internet. Selepas berjumpa dengan Aireen, Adam menyahut cabaran untuk mendaftar dalam kursus Analisis Data bersama airasia academy yang ditaja Yayasan Peneraju.
Bercita-cita untuk menjadi seorang nomad digital dan membantu orang yang dalam kesusahan di serata dunia, Adam kini faham fungsi analisis data dan betapa pentingnya keperluan data bagi sesebuah organisasi memahami keperluan dan mengkaji tingkah laku membeli pelanggan.
Sewaktu mengikuti kursus, Adam menunjukkan semangat waja dan membuktikan bahawa daya tahan yang kuat merupakan kunci untuk maju ke hadapan dalam kerjaya pilihannya. Setelah tamat kelas pada jam 5 petang, beliau akan terus membawa penumpang sehingga lewat malam. Adam menyatakan penghargaan kepada pihak airasia academy atas kesabaran dan kefahaman mereka terhadap situasi kerja beliau ketika menghadiri kursus.
“Saya ingin mendapatkan pendekatan yang holistik untuk meluaskan peluang pekerjaan saya. Selain dari analisis data, saya juga berminat untuk belajar tentang pengkomputeran awan. Saya percaya bahawa integrasi awan merupakan langkah pertama untuk mengumpul dan mengurus data sebelum proses analisis bermula. Oracle ialah satu contoh syarikat data besar yang menggunakan integrasi awan untuk pengurusan pangkalan data,” tambah Adam.
Adam berhasrat melakukan perkara yang memberi kepuasan kepadanya dengan membantu orang lain. Menguasai kemahiran menganalisis data adalah langkah pertama untuk mencapai hasrat itu. Sambil bekerja sepenuh masa, Adam meningkatkan pengetahuan tentang integrasi awan melalui kursus-kursus online dan menambah sijil-sijil pentauliahan-mikro.
“Semakin banyak kemudahan yang boleh diakses secara dalam talian, semakin tinggi tarikan data analisis dalam industri perkhidmatan,” kata Maizan Nordin, 29 tahun.
Maizan merupakan antara pelajar contoh airasia academy yang juga mengikuti kursus Analisis Data tajaan Yayasan Peneraju. Anak jati Selangor ini dilahirkan dengan Spina Bifida, satu kondisi yang memberi kesan kepada tulang belakang. Sejenis penyakit yang menjejas pergerakan kaki, dan dalam kebanyakan kes, sehingga membawa kepada kelumpuhan.
Seorang anggota aktif Majlis Belia OKU (MBOKU), Maizan mendapat tahu tentang kursus yang ditawarkan oleh airasia academy dengan usahasama Yayasan Peneraju pada laman Facebook MBOKU.
Maizan seorang yang gemar belajar. Anak bongsu kesayangan keluarga ini telah berjaya memperoleh Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sains Politik) (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan mempunyai fokus dalam penggubalan dasar, kepentingan awam, dan pandangan Islam tentang falsafah moden. Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai penyelaras program sebelum menyertai program Analisis Data.
Pengalaman menggunakan telefon pintar mencetus minat beliau dalam dunia mudah diakses. Internet, lebih-lebih lagi e-dagang, menjadikan hidup Maizan sebagai OKU fizikal lebih mudah dalam melaksanakan transaksi jual beli seperti memesan makanan dan membeli-belah. Maizan percaya bahawa data memainkan peranan penting dalam sektor perkhidmatan, terutamanya bagi warga OKU, dan industri ini perlu mengambil perhatian untuk memastikan mereka tidak terkecuali.
“Kursus ini memberi semangat kepada saya untuk mengejar kerjaya dalam sains data. Terdapat permintaan yang tinggi bagi kemahiran ini dan saya yakin bahawa lebih banyak peluang pekerjaan tersedia yang membenarkan saya untuk bekerja jarak jauh. Program ini merupakan satu peluang besar untuk OKU tetapi kesedaran tentang latihan digital bagi warga OKU masih rendah,” kata Maizan.
Ia membuka mata Maizan untuk merealisasikan masa hadapan yang baru. Kini, beliau mempunyai cita-cita untuk membantu OKU dari pelbagai kategori, menjana pendapatan tetap dan bekerja secara jarak jauh. Bagi Maizan, bekerja secara hibrid akan banyak membantu dari segi fleksibiliti jadual kerja bagi menghadiri temujanji hospital untuk menjalani sesi susulan bersama doktor.
Menurut Maizan, ramai warga bumiputera dari latar belakang berbeza, termasuk warga OKU, wanita B40, golongan kurang bernasib baik, penganggur dan lain-lain berpeluang untuk memperoleh manfaat dari kursus-kursus yang dianjurkan airasia academy. Ini adalah kerana seluruh dunia sedang mengalami peralihan digital di mana lebih ramai pakar teknologi maklumat diperlukan oleh pelbagai jenis industri.
Kursus ini telah memperkasakan beliau untuk memiliki kerjaya terjamin dan masa depan yang stabil. Kini, Maizan menggunakan sepenuhnya langganan percuma setahun platform ODL airasia academy. Beliau ingin meneruskan perjalanan beliau dalam bidang sains data dan berharap orang ramai dapat meraih manfaat yang sama.
Memenuhi jurang teknologi dengan bakat OKU
Kesedaran berkenaan penglibatan warga OKU adalah solusi kepada usaha meningkatkan kadar pengeluaran pakar digital sekaligus merapatkan jurang tenaga kerja sebagai persediaan ke arah IR4.0. Menerusi usaha ini, entiti perniagaan perlu meneroka potensi mereka, untuk meluaskan perspektif persaingan dan meningkatkan permintaan industri terhadap bakat teknologi di kalangan OKU.
Dalam mengharungi cabaran fizikal dan emosi semasa menjalani program di airasia academy, Adam dan Maizan menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan mereka. Gigih dan berkarisma tinggi, kedua-dua individu ini mengatasi kekangan kesihatan dalam mencari kestabilan hidup.
Demi memajukan diri dalam dunia digital, airasia academy berasa bangga kerana mendapat peluang untuk bersama-sama Adam, Maizan dan semua yang menyertai program kursus latihan digital dengan tajaan Yayasan Peneraju.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai platform airasia academy serta kursus dan biasiswa yang ditawarkan, sila layari laman web https://airasiaacademy.com/.