Indeks OAG bukti sumbangan AirAsia menjadikan Kuala Lumpur hab mega LCC utama dunia
SEPANG, 25 September 2019 - AirAsia menyambut baik pengumuman Indeks Hab Mega OAG 2019 (OAG Megahubs Index 2019) yang mengiktiraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) sebagai hab mega penerbangan tambang rendah (LCC) paling berhubungan di peringkat antarabangsa di dunia.
Indeks tersebut meletakkan Kuala Lumpur mendahului Manila (MNL), Singapura (SIN), Incheon (ICN), San Diego (SAN) serta hab-hab lain dalam senarai 25 teratas bagi kategori LCC.
Pemilihan hab mega paling berhubungan di peringkat antarabangsa oleh Indeks Hab Mega OAG 2019 dibuat secara perbandingan antara jumlah penerbangan berjadual keluar-masuk dan jumlah destinasi yang dihubungkan dari hab tersebut.
Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam berkata, “Sebagai kumpulan penerbangan terbesar yang beroperasi di klia2, Indeks Hab Mega OAG 2019 memberikan gambaran jelas sumbangan besar oleh AirAsia dalam menghubungkan masyarakat ke seluruh dunia serta ke arah matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan dan aero angkasa bertaraf global.”
Beliau menambah: “Perkhidmatan penerbangan tambang rendah dan hubungan udara tambang rendah adalah penting bagi industri penerbangan dan pelancongan Malaysia. Justeru, pihak pengurusan lapangan terbang, pengawal selia, serta kerajaan haruslah memahami dan menghargai satu sama lain untuk memastikan negara kita terus menjadi destinasi pelancongan utama.”
Kumpulan AirAsia telah menerbangkan seramai 57,000 tetamu setiap hari menerusi lebih daripada 320 penerbangan ke 151 destinasi antarabangsa melalui klia2, iaitu 97 peratus daripada keseluruhan penumpang yang menggunakan hab LCC tersebut.
Untuk laporan lengkap Indeks Hab Mega OAG 2019, sila klik di sini.
*** TAMAT ***