AirAsia laksana pengurangan Caj Perkhidmatan Penumpang di klia2

Nikmati promosi jualan “Shared Prosperity” 23-jam, 23% pada 1 Okt

Bo Lingam profile photo 2.jpg

SEPANG, 30 Sept 2019 - AirAsia akan melaksanakan pengurangan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) di klia2 dan lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia di mana ia beroperasi mulai esok.

Ini berikutan pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada bulan lepas setelah kabinet bersetuju menurunkan kadar PSC bagi para tetamu yang terbang ke destinasi luar Asean kepada RM50 berkuatkuasa 1 Oktober 2019.

Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam berkata, “Kami menghormati sepenuhnya keputusan kabinet dan berdasarkan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, kami akan melaksanakan pengurangan PSC bermula 1 Oktober 2019. Lapangan terbang merupakan hak milik kerajaan, dan kabinet sememangnya mempunyai kuasa dalam melaksanakan penurunan PSC ini.

“Keputusan kabinet untuk menurunkan PSC kepada RM50 menunjukkan bahawa caj yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) adalah kadar maksimum dan bukannya kadar tetap, dan ianya konsisten dengan kenyataan oleh pihak MAVCOM sebelum ini. Justeru, pengenaan PSC yang lebih rendah ini tidak perlu lagi diwartakan sebelum dilaksanakan pada 1 Oktober 2019.”

Sebagai tanda terima kasih kepada para tetamu dan penyokong AirAsia, kami akan menawarkan promosi “Shared Prosperity” selama 23 jam sahaja pada 1 Oktober 2019. Tetamu boleh menikmati diskaun sebanyak 23% untuk semua tempat duduk bagi destinasi di luar Asean termasuk Tianjin, Melbourne, Seoul, Jaipur, Tokyo dan Taipei, untuk perjalanan segera sehingga 9 Februari 2020.  

Promosi “Shared Prosperity” ini boleh didapati di laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia, serta termasuk tempahan hotel. Selain itu, tetamu juga boleh mendapat diskaun istimewa untuk semua barangan cenderahati dan bebas cukai di ourshop.com.  

Bo menambah: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan dan semua rakyat Malaysia kerana menyokong perjuangan kami bagi PSC yang adil dan memastikan penerbangan udara mampu dinikmati oleh semua. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para tetamu malah juga industri pelancongan dan ekonomi secara keseluruhan.”

*** TAMAT ***



Qastury JawawiSepang