airasia food tawar perkhidmatan penghantaran lancar kepada peniaga dengan komisen terendah 10%
Kuala Lumpur, 29 Disember 2020 - airasia food platform penghantaran makanan baharu yang dikendalikan oleh Teleport, syarikat logistik milik airasia Digital terus menawarkan kemudahan kepada para peniaga untuk menyertai platform tersebut tanpa sebarang kos tersembunyi.
airasia food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020 menawarkan penyelesaian yang mudah dan lancar dengan harga yang berpatutan bagi para peniaga kerana ia mengenakan harga tetap dan komisen terendah hanya 10%. Para peniaga boleh mendaftar dengan harga tetap dan beralih kepada komisen 10% kemudian. airasia food menawarkan perkhidmatan pembayaran dan penghantaran, memberikan para peniaga kawalan sepenuhnya dalam menguruskan menu dan harga makanan mereka. Tambahan pula, airasia food menawarkan liputan penghantaran hingga 60 kilometer berbanding platform perkhidmatan pesanan makanan lain yang hanya menawarkan liputan penghantaran sehingga 15 atau 20km.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Melalui airasia food, kami ingin mendemokrasikan perkhidmatan penghantaran makanan, terutamanya bagi para peniaga, kerana platform-platform lain mengenakan kos dan komisen yang amat tinggi. airasia food mengenakan harga tetap yang setara dengan kadar komisen 10%, menawarkan lebih keuntungan kepada mereka selain kebolehan menguruskan sepenuhnya menu dan harga makanan mereka, akses kepada data dan dapat berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan mereka.
“Kami mengenakan harga tetap terendah dalam industri penghantaran makanan, dan kami berharap ini memberikan ‘kemerdekaan’ kepada restoran di luar sana. Kini, penghantaran makanan bukan sahaja pelengkap perniagaan, tetapi ia adalah salah satu saluran jualan utama bagi restoran dan perniagaan kecil. Salah seorang peniaga kami, JoshiJosh, telah meningkatkan jualan mereka sebanyak 500 kali ganda dalam masa 3 bulan.”
Antara ciri-ciri yang membezakan airasia food dengan platform penghantaran makanan lain adalah sokongan ekosistem airasia, yang terdiri daripada lebih 60 juta pengguna di mana mereka boleh mengumpul dan membayar dengan BIG Poin mereka, pendaftaran segera dalam talian tanpa kontrak atau borang, kemudahan berkomunikasi terus dengan pelanggan dan membina pangkalan data mereka, serta menjangkau lebih ramai pelanggan dengan liputan penghantaran hingga 60 kilometer.
Airasia food akan dilancarkan di Singapura pada akhir Januari 2021, dan turut akan berkembang ke bandar-bandar Asean yang lain.
Para peniaga yang berminat untuk menyertai rangkaian airasia food boleh menghubungi food@airasia.com.