airasia super app umum pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu
KUALA LUMPUR, 18 MEI 2021 - airasia super app (sebelum ini dikenali sebagai airasia.com) hari ini mengumumkan pelantikan Amanda Woo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuatkuasa pada 19 Mei 2021. Amanda akan melaporkan diri kepada Aireen Omar, Presiden (Airasia Digital) AirAsia Group.
Aireen Omar, Presiden (airasia Digital) AirAsia Group berkata, “Airasia super app kini berada pada tahap penting pertumbuhannya, dengan fokus kepada tiga kategori - perjalanan, e-dagang dan teknologi kewangan. Adalah penting untuk kami terus berinovasi dan mencari cara untuk menjadikan airasia super app pilihan pengguna di dalam ketiga-tiga kategori ini di Asean. Pengalaman Amanda selama sedekad yang lalu dengan AirAsia membolehkan beliau memaksimumkan kekuatan data, rangkaian dan teknologi yang kami bina selama bertahun-tahun untuk mencapai visi tersebut.”
Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad menambah, “Di AirAsia, kakitangan adalah aset terbesar kami dan kami berbesar hati untuk melantik Allstars yang layak untuk memainkan peranan kepimpinan seperti ini. Pelantikan Amanda Woo bukanlah secara mengejut kerana beliau telah bekerja rapat bersama-sama Karen untuk memacu airasia super app sejak ia ditubuhkan, dan merupakan kesinambungan jawatannya berdasarkan pengalaman yang luas dalam sektor e-dagang dan ekosistem digital. Pelantikannya juga bertindak sebagai pemangkin untuk memacu pertumbuhan airasia super app, dan kami yakin bahawa penambahannya dalam pasukan kepimpinan kami akan membantu mempercepat visi kami untuk menjadi aplikasi super pilihan di Asean.”
Amanda Woo menyertai AirAsia pada tahun 2012, dan telah menerajui inisiatif komersial dalam pelbagai entiti di bawah ekosistem AirAsia. Berpengalaman lebih dari 15 tahun dalam sektor e-dagang, jenama gaya hidup dan pemasaran runcit dengan jenama global terkemuka, kepemimpinan Amanda telah berjaya mengembangkan perniagaan AirAsia di pasaran utama Asean, termasuklah kemasukan AirAsia ke pasaran baharu di Indochina dan pertumbuhan di pasaran Indonesia.
Amanda Woo dilantik sebagai Ketua Pegawai Komersial pada awal tahun 2019 di mana beliau merupakan sebahagian daripada pasukan pengasas airasia super app, dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, beliau akan terus memacu pertumbuhan airasia super app untuk menjadi platform digital pilihan di Asean.
Semasa menerima pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Amanda Woo berkata, “Saya merasa rendah diri diberi peluang ini, dan berharap dapat bekerjasama dengan pasukan pengurusan dan Allstars di seluruh rantau ini untuk memacu visi yang ditetapkan oleh airasia super app. Gabungan Allstars yang berbakat, pasukan kepimpinan yang kuat dan peluang melebarkan sayap ke peringkat global menawarkan peluang yang tiada tandingannya untuk airasia super app menjadi antara penyumbang penting dalam ekosistem airasia Group, dan aliran pendapatan utama.”
Sementara itu, mantan Ketua Pegawai Eksekutif airasia super app, Karen Chan akan beralih sebagai ahli lembaga perniagaan airasia super app.
Ahli-ahli Lembaga dan AirAsia Allstars juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada Karen Chan atas sumbangannya yang besar kepada syarikat.