T. Y. T. Pulau Pinang Zahir Sokongan Padu Usaha Kebajikan IKHLAS
GEORGE TOWN, 10 Ogos 2022 - IKHLAS, cabang perniagaan mesra Muslim di bawah Capital A yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group, bakal mempergiatkan lagi usaha kebajikan dalam menyantuni masyarakat di Pulau Pinang terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dan golongan B40.
Ini susulan sokongan padu yang dizahirkan pemimpin tertinggi negeri iaitu Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak semasa kunjungan hormat oleh delegasi IKHLAS semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata, keprihatinan Tun Dato’ Seri Utama memberikan inspirasi kepada pihaknya untuk meneruskan kegiatan turun padang dan mengimarahkan masjid-masjid di sekitar Pulau Mutiara itu dengan aktiviti-aktiviti dan pengisian kerohanian.
“Sewaktu mengadakan kunjungan hormat tadi, kami menyatakan kesediaan kami untuk sama-sama terlibat dalam usaha menyantuni warga Pulau Pinang menerusi penyediaan dan penyelarasan sumbangan makanan panas serta pengedaran bakul makanan menerusi Program Solat Jumaat Mingguan Tun Dato’ Seri Utama di masjid-masjid sekitar negeri Pulau Pinang,” ujarnya.
Menurut beliau, IKHLAS turut menggerakkan tenaga kerjanya termasuk mutawif dan mutawifah yang berpengalaman dalam bimbingan umrah dan ziarah untuk menjalankan beberapa siri Kursus Umrah secara percuma, tanpa sebarang bayaran kepada kariah masjid-masjid yang dikunjungi.
“Kami juga berharap pertemuan tadi akan membuka ruang kerjasama erat dengan komuniti Islam di Pulau Pinang menerusi platform IKHLAS yang menawarkan solusi teknologi untuk tujuan pengurusan komuniti,” tambahnya.
IKHLAS, platform digital sehenti yang bertujuan menyokong komuniti Islam di seluruh dunia dengan menawarkan akses kepada amalan gaya hidup berlandaskan syariat Islam turut membantu Badan Zakat Pulau Pinang mengutip zakat sejak tahun 2021 dan mensasarkan peningkatan jumlah kutipan zakat melalui platform digital itu. IKHLAS juga merupakan wakil kutipan zakat sah bagi Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor dan Perlis.
Tentang IKHLAS
Ditubuhkan pada tahun 2020, IKHLAS memacu inovasi dalam pembangunan sebuah ekosistem Islamik untuk memenuhi keperluan umat Islam melalui barisan produk-produk seperti Sadaqah, Fidyah, Umrah, Qurban, Zakat, Aqiqah dan pilihan produk halal menerusi Shop dengan IKHLAS. Untuk maklumat lanjut mengenai platform digital IKHLAS, layari https://ikhlas.com/ms/my/ atau muat turun aplikasi IKHLAS menerusi https://ikhlas.com/ms/my/app/.