Capital A teroka Bahrain sebagai hab penerbangan, kejuruteraan dan logistik di Timur Tengah bagi memperkukuh pengembangan global

MANAMA, 3 November 2025 — Capital A Berhad (“Capital A” atau “Kumpulan”) hari ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi bagi menerokai penubuhan Bahrain sebagai hab AirAsia di Timur Tengah, menandakan permulaan kerjasama jangka panjang bagi menjalinkan hubungan antara Asean dan salah satu syarikat penerbangan yang berkembang pesat di serantau dunia.

Surat Hasrat (LOI) tersebut menetapkan kerangka kerja menyeluruh bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penerbangan dan ekonomi antara Capital A dan Bahrain, seiring dengan aspirasi bersama untuk membuka laluan baharu antara kerajaan Bahrain dan rantau Asean. Ia merangkumi kerjasama pelbagai aspek meliputi operasi syarikat penerbangan pada masa hadapan, kargo dan logistik, keupayaan penyelenggaraan serta pembangunan bakat.

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata: “Kerjasama ini merupakan satu langkah strategi bagi penstrukturan semula penerbangan kami yang bakal selesai tidak lama lagi di mana Capital A dan AirAsia kini sedang melangkah ke fasa pertumbuhan global yang lebih efektif dan inovatif serta Bahrain akan menjadi landasan kukuh bagi kami untuk berkembang di rantau Timur Tengah.”

“AirAsia dibina berasaskan inovasi dan kami terus mentakrif semula model penerbangan tambang rendah. Kami telah menjadi perintis dalam menubuhkan syarikat penerbangan di luar pangkalan asal kami di Malaysia dan berjaya mengembangkan operasi ke pasaran kukuh kami di Asean termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja. Bahrain bakal meneruskan semangat inovatif dan perintis AirAsia dalam membangunkan model baharu bagi merealisasikan misi kami ‘Now Everyone Can Fly’ dan misi ini turut diusahakan melalui bidang kerjasama yang sedang diterokai”

“Masa depan perjalanan adalah sebahagian daripada jumlah yang hab yang kukuh, lancar dan tanpa sempadan. Menjelang tahun 2030, selain berpotensi mengendalikan Sijil Operator Udara (AOC) berpusat di Bahrain, kami menjangkakan untuk mengoperasikan lebih daripada 25 penerbangan harian antara Bahrain dan mega hab Asean kami dengan lebih 20 juta penumpang dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini akan mewujudkan aliran baharu pergerakan para pengembara, perdagangan, bakat dan kargo malah ia bukan sahaja melibatkan bandar utama tetapi juga ke bandar sekunder dan bandar pesat membangun di mana pertumbuhan ekonomi sedang berlaku.”

YBhg. Dr. Shaikh Abdulla Bin Ahmed Al Khalifa, Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Kerajaan Bahrain berkata, “Hasrat Bahrain adalah untuk mempelbagaikan ekonomi selaras dengan Wawasan Ekonomi 2030 mendapat dorongan baharu melalui kerjasama dengan Capital A dan AirAsia. Ia memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai hab pelancongan dan logistik di Timur Tengah, sekaligus meningkatkan peranannya sebagai penghubung strategik yang menghubungkan Asia, Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat. Model kerjasama ini membuka peluang untuk para pelancong dan industri perniagaan, di samping mewujudkan pekerjaan khusus untuk tenaga kerja Bahrain yang berpendidikan serta memberi rangsangan tambahan kepada KDNK negara.”

Melalui Surat Hasrat (LOI) tersebut, AirAsia akan meneroka pelancaran penerbangan dari Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia ke Bahrain dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sambungan seterusnya ke Eropah dan Amerika Syarikat. Kumpulan ini juga akan menilai penubuhan Sijil Operator Udara (AOC) berpusat di Bahrain bagi mengendalikan pesawat badan sempit ke bandar-bandar utama di Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika dan Eropah. Menjelang tahun 2030, AirAsia dijangka akan mengendalikan lebih daripada 25 penerbangan harian melalui Bahrain, membawa lebih 20 juta penumpang dalam tempoh lima tahun akan datang serta menyumbang kira-kira BHD 3 bilion (USD 8 bilion) kepada ekonomi Bahrain.

Pengembangan ini dijangka akan menyokong lebih 100,000 peluang pekerjaan merangkumi ekosistem penerbangan dan perkhidmatan. Program pembangunan bakat berbilang tahun akan dilaksanakan bagi melatih dan menawarkan warganegara Bahrain dalam pelbagai bidang termasuk juruterbang, kru kabin, kejuruteraan dan operasi darat, dengan lebih 1,000 pengambilan disasarkan pada tahun pertama bagi menyokong agenda kemajuan ekonomi Bahrain.

Asia Digital Engineering (ADE), cabang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) milik Capital A, merancang untuk menubuhkan kehadiran yang kukuh di Bahrain dengan membina kemudahan bertaraf tinggi yang merangkumi hangar dan bengkel bagi penyelenggaraan pesawat badan sempit dan badan lebar. Kemudahan ini akan memperkasakan bakat tempatan Bahrain melalui program latihan lanjutan untuk armada Airbus dan Boeing, menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan dan menyasarkan masa putaran MRO terpantas di rantau ini. Langkah ini akan membolehkan syarikat penerbangan tempatan dan serantau memaksimumkan masa operasi pesawat serta menawarkan peluang pendapatan tambahan. Penubuhan kemudahan ini menandakan komitmen ADE untuk menjadikan Bahrain sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan sebenar di Timur Tengah.

Cabang logistik Capital A, Teleport, akan menjadikan Bahrain sebagai pintu gerbang utama untuk pengembangan di luar Asia buat pertama kali dengan rancangan untuk menempatkan pesawat kargo khusus di negara tersebut bagi memperkukuh sambungan ke Timur Tengah, Eropah, Afrika dan negara-negara CIS. Langkah strategik ini akan membolehkan Teleport memperluaskan rangkaian antarabangsa serta memudahkan aliran e-dagang yang lebih luas antara Asia, Timur Tengah dan seterusnya.

Pengumuman kerjasama ini susulan daripada pencapaian penting Capital A baru-baru ini, apabila semua syarat bagi pelupusan perniagaan penerbangannya telah dipenuhi, sekaligus membuka jalan bagi pembentukan Kumpulan AirAsia sebagai syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah yang mempunyai jumlah hab yang kukuh. Dengan Kumpulan AirAsia menumpukan kepada pengembangan syarikat penerbangan di peringkat global dan Capital A memperkukuh ekosistem pelancongan serta digital yang saling melengkapi, kedua-dua entiti kini sehaluan untuk mempercepat pertumbuhan, membuka pasaran baharu serta merealisasikan masa depan yang lebih saling berhubung bagi para tetamu dan rakan kongsi di seluruh dunia.