AirAsia Aviation sahkan 14 penghantaran pesawat baharu untuk tahun 2025 berikutan permintaan pasaran yang kukuh
Fasa pertumbuhan seterusnya diperkasa dengan 56 pesawat yang dibiayai sepenuhnya, memperkukuh pemulihan AirAsia ke tahap pertumbuhan pra-COVID serta kedudukannya sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia
SEPANG, 5 Mac 2025 – AirAsia Aviation Group ("AirAsia" atau "Kumpulan") terus memperkukuh strategi pengembangannya dengan mengesahkan penghantaran 14 pesawat baharu pada tahun 2025 – empat secara langsung daripada pengeluar pesawat Airbus dan 10 daripada syarikat pajakan. Pertumbuhan strategik armada ini bertujuan untuk menyokong permintaan perjalanan yang semakin meningkat di seluruh Asean dan seterusnya, memacu kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), jumlah penumpang di rantau Asia Pasifik dijangka meningkat sebanyak 7.9% pada tahun 2025 – kadar terpantas di peringkat global – didorong oleh pemulihan ekonomi, tambang kompetitif, dan kempen pelancongan oleh kerajaan. Sejajar dengan momentum ini, sasaran dalaman AirAsia menjangka 70 juta penumpang bagi tahun kewangan 2025, mewakili peningkatan 11% tahun ke tahun. Bagi mencapai sasaran ini, Kumpulan ini sedang memperluaskan kapasiti, meningkatkan kesalinghubungan, dan mengoptimumkan rangkaian operasinya dengan lebih cekap. Dengan memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan kecekapan kos, keutamaan AirAsia pada masa ini adalah untuk memperkukuh bahagian pasaran domestik serta mempertingkatkan kesalinghubungan perkhidmatan Fly-Thru di semua pasaran operasinya. Dalam jangka masa sederhana, syarikat penerbangan ini juga akan meneroka peluang untuk berkembang ke destinasi global utama.
Kepimpinan pasaran AirAsia di Asean meletakkan syarikat penerbangan ini sebagai penghubung utama ke pasaran antarabangsa, membolehkan akses lancar ke destinasi di seluruh Asia Pasifik, Asia Tengah, Timur Tengah, dan seterusnya. Rangkaian penerbangan jarak pendek yang luas, berpusat di hab mega Kuala Lumpur dan Bangkok, serta habnya di Indonesia, Filipina dan Kemboja, meningkatkan kesalinghubungan serantau serta berfungsi sebagai platform untuk pengembangan jarak jauh.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, menegaskan keyakinan syarikat penerbangan itu terhadap trajektorinya, dengan berkata: “Kami telah memulakan tahun 2025 dengan baik, dan kami berbesar hati kerana pertumbuhan masa depan AirAsia kini terjamin sepenuhnya dengan 56 pesawat akan datang yang sudah dibiayai. Ini memberi kami kelebihan untuk berkembang dengan kepastian penuh sambil terus menawarkan pengalaman perjalanan yang paling mampu milik dan boleh dipercayai. Pengembangan ini bukan sekadar menambah jumlah pesawat – ia adalah langkah untuk menyediakan lebih banyak penerbangan di mana para tetamu kami memerlukannya, membuka destinasi baharu, dan menjadikan perjalanan lebih mudah serta berpatutan. Setiap pesawat yang diterima membawa kami selangkah ke arah memberikan lebih banyak pilihan, sambungan, dan nilai terbaik.
“Kami bergerak pantas menuju kadar pertumbuhan pra-pandemik lebih awal daripada jangkaan, dan pengembangan ini membuktikan keyakinan kami terhadap kekuatan pasaran. Permintaan kini semakin meningkat, faktor muatan dan hasil kekal kukuh, dan kami berpegang teguh pada strategi pengoptimuman laluan dengan fokus yang ketat terhadap kecekapan kos. Ini meletakkan AirAsia pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan masa depan, dan dengan teknologi pesawat terkini, kami bersedia untuk terus beroperasi bagi dekad akan datang, menetapkan asas bagi pertumbuhan jangka panjang yang mampan.”
Seiring dengan langkah penstrukturan semula korporat bagi perniagaan penerbangannya, AirAsia bersedia untuk menyepadukan kecekapan rangkaian jarak pendeknya dengan jangkauan operasi jarak jauh. Tambahan pula, pesawat Airbus A321XLR dan A321LR bakal mengubah landskap penerbangan tambang rendah di peringkat serantau dan jarak jauh, manakala armada Airbus A330 akan dioptimumkan untuk laluan jarak jauh, menyokong usaha AirAsia untuk meneroka pasaran antara benua baharu. Pengembangan armada yang dirancang secara strategik ini akan membolehkan syarikat penerbangan mengurangkan kos sambil meningkatkan kecekapan bahan api, memastikan model pertumbuhan yang mampan dan kos efektif.
Sebagai antara syarikat penerbangan yang pulih paling pantas di peringkat global, AirAsia kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai dan melangkaui kadar pertumbuhan pra-pandemik. Penghantaran pesawat yang disahkan ini akan memperkukuh laluan dengan permintaan tinggi, memacu kemasukan ke pasaran baharu, dan meningkatkan kapasiti operasi secara keseluruhan, memacu kedudukan AirAsia sebagai peneraju penerbangan tambang rendah di rantau ini. Dengan peningkatan permintaan pasaran serta komitmen terhadap tambang berpatutan, AirAsia kekal sebagai pemacu utama dalam evolusi perjalanan tambang rendah sambil memperkukuh statusnya sebagai peneraju global dalam industri penerbangan.
*** TAMAT ***