AirAsia MOVE perluas portfolio merangkumi aktiviti tarikan global
Penerbangan, hotel, dan aktiviti dalam satu platform untuk memudahkan keseluruhan perjalanan para pelancong
Nikmati diskaun 10% untuk tempahan ‘Attractions’ di AirAsia MOVE
KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – AirAsia MOVE (MOVE) telah memperluas tawaran bagi para pengguna dengan penambahan ‘Attractions’ (Tarikan) melalui perkongsian strategik bersama GetYourGuide. Inisiatif ini membolehkan pengguna mencari dan menempah pengalaman perjalanan, aktiviti, serta pakej pelancongan, sekali gus mengintegrasikan pengalaman tempahan perjalanan mereka dengan lebih menyeluruh di dalam satu aplikasi.
Bagi meraikan pelancaran ini, MOVE menawarkan diskaun 10% untuk semua pembelian tarikan. Pelancong juga akan menikmati pilihan harga terbaik, kemudahan 'tempah sekarang, bayar kemudian', serta fleksibiliti pembatalan untuk pilihan tarikan yang tersedia.
Nadia Omer, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, berkata, “Aktiviti tarikan bukan lagi sekadar nilai tambah, ia merupakan segmen yang paling pesat berkembang dalam sektor pelancongan global. Penyelidikan daripada Arival dan Phocuswright menunjukkan sektor tarikan dan pengalaman pelancongan mencecah $271 bilion pada tahun 2025 dan diunjurkan akan meningkat kepada $342 bilion menjelang 2029, mengatasi segmen pelancongan utama yang lain.
“Pelancong hari ini memilih destinasi berdasarkan aktiviti yang boleh dilakukan di destinasi mereka. Aktiviti, tarikan, dan pengalaman tempatan yang mendalam semakin mempengaruhi keputusan perjalanan dan corak perbelanjaan. Pelancaran ‘Attractions’ ini, mengukuhkan kedudukan kami sebagai OTA (Agensi Pelancongan Dalam Talian) yang menyeluruh dan memastikan kami kekal relevan dalam landskap pelancongan yang berkembang pesat.”
Josh Montgomery, Ketua Global Kerjasama Strategik GetYourGuide, menambah, “Asia-Pasifik merupakan rantau yang paling pesat berkembang bagi GetYourGuide, dan kami komited untuk memudahkan jutaan pelancong menerokai pengalaman luar biasa yang berada di rantau ini. Melalui kerjasama dengan AirAsia MOVE, kami membawakan kepakaran pemandu pelancong tempatan terus kepada para pelancong semasa mereka merancang perjalanan. Ini membantu mereka melangkau senarai mesti lawat yang biasa, dan terus mencari aktiviti yang tidak dapat dilupakan dan yang tersendiri buat mereka. Ini memberi lebih ramai pelancong keyakinan dan pengetahuan untuk meneroka kekayaan budaya, permata tersembunyi, dan tarikan bertaraf dunia.”
Untuk maklumat terkini, ikuti @airasiamove di Instagram & TikTok. Muat turun aplikasi daripada Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei App Gallery untuk pengalaman tempahan yang lancar dan lebih baik.
*** TAMAT ***