AirAsia X rai pencapaian sebagai syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama yang terbang terus ke Almaty, Kazakhstan
Keterangan Gambar: (Dari Kiri) Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Karen Chan; Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia; Benyamin Ismail, CEO AirAsia X, YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia; Tuan Yang Terutama Bulat Sugurbayev, Duta Kazakhstan ke Malaysia di majlis perlepasan penerbangan pertama ke Almaty, Kazakhstan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) hari ini.
SEPANG, 14 Mac 2024 - AirAsia X (AAX) meraikan penerbangan sulungnya ke Asia Tengah secara terus ke Almaty, Kazakhstan pada hari ini.
Pencapaian penuh bersejarah ini menandakan AAX sebagai syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama yang menghubungkan laluan udara ke Almaty, pusat komersial dan budaya Kazakhstan. Pelancaran laluan baharu ini membuktikan komitmen AAX dalam mengembangkan rangkaiannya secara strategik dan menawarkan akses kepada pasaran baharu. Selain itu, ia memenuhi peningkatan permintaan untuk perjalanan yang lebih lancar dan berpatutan antara Asia Tenggara dan Asia Tengah.
Kesemua 283 tetamu telah diraikan dengan meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) dengan majlis pelepasan istimewa yang turut dihadiri oleh YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia; Tuan Yang Terutama Bulat Sugurbayev, Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A; Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, dan wakil-wakil kenamaan serta tetamu kehormat lain.
Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook berkata: "Penerbangan pertama AirAsia X ke Almaty, Kazakhstan merupakan pencapaian penting dalam industri penerbangan Malaysia. Laluan baharu ini bukan sekadar meningkatkan kesalinghubungan tetapi membuktikan komitmen kita untuk menawarkan sistem pengangkutan udara bertaraf dunia. Ia juga melambangkan dedikasi kita untuk menjadi hab penerbangan peringkat global dan memperkukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara Kazakhstan dan Malaysia. Tahniah kepada AirAsia X atas pencapaian ini! Dalam pada kita melangkah ke hadapan, pemulihan trafik penumpang juga dijangka akan meningkat lebih drastik untuk tahun 2024 dengan peningkatan jumlah penumpang antara 93.9 juta hingga 107.1 juta. Justeru, marilah kita berusaha untuk kecemerlangan sektor penerbangan negara.”
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata: "Kami berbesar hati untuk meraikan laluan baharu pertama AirAsia X ke Almaty, Kazakhstan yang melambangkan komitmen syarikat penerbangan ini untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan Kazakhstan, sempena sambutan ulang tahun ke-32 pada tahun 2024. Dengan kerjasama dalam sektor perdagangan dua hala yang mencapai puluhan juta dolar AS antara kedua-dua negara, potensi untuk kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri pelancongan kini lebih luas. Kami menjangka penerbangan AAX ke Almaty akan memainkan peranan penting sebagai penghubung peluang perniagaan, melancarkan sektor perdagangan dan memperkukuh pertumbuhan di kedua-dua buah negara."
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: "Pelancaran penerbangan terus ke Almaty pada hari ini dengan faktor muatan yang menakjubkan hampir seratus peratus menandakan satu lonjakan penting bagi AirAsia X untuk menerokai pasaran Asia Tengah. Langkah strategik ini membuktikan komitmen berterusan kami untuk memperluas rangkaian global dan menghubungkan para pengembara ke destinasi popular di dunia. Kami yakin kemasukan ke pasaran Kazakhstan bukan sahaja akan meningkatkan sektor pelancongan antara kedua-dua buah negara malah akan merapatkan hubungan di peringkat serantau dengan menghubungkan penduduk negara terbesar di Asia Tengah ke lebih 130 destinasi dari Kuala Lumpur. Dalam usaha kami memperluas rangkaian di seluruh rantau ini dan kehadiran di pasaran Asia Tengah, kami melihat masa depan yang lebih cerah untuk syarikat penerbangan ini.”
AirAsia X kini terbang ke Almaty dengan empat penerbangan mingguan dan menawarkan lebih daripada 95,000 tempat duduk setahun dengan tambang yang kompetitif bermula daripada RM599 atau USD169 termasuk semua* sehala. Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan bermula dari 15 hingga 21 Mac 2024 untuk tempoh perjalanan mulai sekarang hingga 17 Jun 2025 di airasia.com dan AirAsia MOVE, sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp.
*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala termasuk cukai, caj bahan api dan yuran yang berkaitan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.