AirAsia Aviation Group bekerjasama dengan Century Medical Centre (CMC) Medijaya dan Pathlab tingkatkan kemudahan ujian kesihatan di Gateway
Kemudahan ujian kesihatan yang pantas, berpatutan dan mudah di Gateway akan menyokong pemulihan pesat perjalanan udara AirAsia
SEPANG, 7 April 2022 - Berikutan sempadan antarabangsa yang telah dibuka dan peningkatan perjalanan udara global, AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Century Medical Centre (CMC) Medijaya, disokong oleh PATHLAB, penyedia perkhidmatan ujian perubatan terkemuka, bagi mempertingkatkan perkhidmatan saringan Covid-19 di hab terbesar syarikat penerbangan itu di Gateway.
Satu Memorandum Kerjasama telah ditandatangani hari ini di ibu pejabat AirAsia, RedQ oleh Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia dan Dato’ Marcus Kam, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Medijaya dan PATHLAB.
CMC melalui pusat ujian berdedikasi baharu Medijaya di Gateway akan menyediakan prosedur ujian yang dipertingkatkan dan mudah disepadukan dengan protokol syarikat penerbangan tersebut termasuk mengambil tempahan awal, mengutamakan pembayaran dalam talian dan memberikan hasil yang cekap kepada para tetamu AirAsia. AirAsia pula akan menyokong Medijaya untuk mempromosikan kesedaran tentang kemudahan baharu ini untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar bagi tetamu yang berlepas dan tiba di Gateway.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Sejak dua tahun lalu kami telah melaksanakan pelbagai inovasi dan prosedur baharu untuk menjadikan pengalaman penerbangan lebih lancar dan selamat serta membantu memulihkan keyakinan para tetamu untuk kembali terbang. Pengumuman hari ini adalah satu lagi contoh bagaimana kami bekerjasama dengan rakan kongsi strategik untuk memudahkan perjalanan udara dalam dunia pasca pandemik.
“Melalui kerjasama ini, para tetamu AirAsia boleh menjangkakan prosedur “uji dan pergi” yang lancar untuk memenuhi keperluan Ujian Pantas Antigen (RTK) semasa ketibaan di Gateway, pada harga berpatutan dengan perkhidmatan yang cekap dan komitmen terhadap keputusan ujian yang pantas. Walaupun Gateway adalah lapangan terbang pertama yang menyediakan perkhidmatan ini untuk para tetamu kami, kami mensasarkan untuk melaksanakannya di destinasi lain di seluruh Malaysia dan Asean dalam masa terdekat apabila kami kembali ke semua pasaran utama.”
Perkhidmatan ujian RTK Medijaya di Gateway boleh didapati dengan harga RM60 khas untuk tetamu AirAsia bermula 17 April 2022, dan boleh didapati untuk tempahan awal melalui laman web Medijaya. Para tetamu AirAsia boleh mengemukakan pas masuk mereka di kemudahan kesihatan Medijaya di Gateway untuk menikmati tawaran ini. Prosedur pemeriksaan akan mengambil masa kurang dari lima minit, dan keputusannya akan dimuat naik ke aplikasi MySejahtera dalam tempoh 30 minit selepas pemeriksaan. Para tetamu juga akan menerima salinan keputusan ujian mereka melalui emel dalam tempoh 24 jam.
Bagi tetamu yang berlepas, ujian pra-perlepasan RT-PCR akan tersedia pada harga RM120 khas untuk tetamu AirAsia di mana-mana kemudahan ujian Medijaya di Malaysia bermula 14 April 2022. Sebagai alternatif, tetamu AirAsia boleh membuat pembelian awal di kemudahan kesihatan Medijaya di Gateway, dan menebus ujian tersebut di mana-mana kemudahan Medijaya di seluruh Malaysia. Kemudahan ujian ini tersedia di Medijaya Kelana Jaya, Medijaya Bayu Tinggi (Klang), Medijaya Pandan Indah (KL), dan Medijaya Johor Bahru, serta akan datang di Kota Kinabalu dan Melaka. Keputusan ujian RT-PCR juga boleh didapati dalam tempoh 24 jam selepas pemeriksaan, dan tetamu akan turut menerima salinan keputusan ujian mereka melalui emel.
Dato’ Marcus Kam, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Medijaya dan PATHLAB berkata: “CMC Medijaya bersama PATHLAB amat berbesar hati dan berharap dapat menjadi rakan kongsi strategik utama AirAsia, terutamanya dalam membantu memulihkan industri pelancongan dan ekonomi Malaysia. Kami akan memastikan perkhidmatan terbaik yang lancar dengan keputusan ujian yang pantas. Sejak bermulanya pandemik Covid-19, Kumpulan kami telah menyokong penuh usaha kerajaan untuk memerangi pandemik ini, dan kami kini bersedia untuk terus berusaha memulihkan ekonomi negara dan kembali seperti biasa.”
Lokasi-lokasi Kemudahan Pengujian Medijaya:
Gateway
Lot L2-130 & L2-130A, Level 2, Jalan KLIA 2/1, 6400, KLIA Sepang, Selangor
Waktu Operasi: 6:00 pagi – 11:30 malam (7 hari seminggu)
Selangor dan Kuala Lumpur
103, Jalan SS25/2, Taman Bukit Emas, 47301, Petaling Jaya, Selangor
17G, Jalan Bayu Tinggi 1B/KS6, Batu Unjur, 41200 Klang, Selangor
15G, Jalan Pandan Indah 1/23D, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur
Waktu Operasi 7:30 pagi – 11:30 pagi, 12:00 tengah hari – 4:00 petang, 4:30 petang – 8:30 malam (7 hari seminggu, tutup pada Hari Cuti Umum)
Johor
No. 8, Jalan Harimau,Taman Abad, 80250 Johor Bahru, Johor.
Waktu Operasi:
Isnin – Jumaat: 8:30 pagi – 5:00 petang
Sabtu: 8:30 pagi – 1:00 tengah hari
Tutup pada Hari Ahad dan Cuti Umum