AirAsia bakal ambil 250 Pegawai Kedua juruterbang daripada program juruterbang kadet menjelang akhir tahun 2023

Juruterbang kadet akan diserap sebagai Pegawai Kedua untuk menyokong keperluan kakitangan operasi sejajar dengan pengembangan sektor pelancongan dan jumlah pesawat

AirAsia juga terus mengambil kru kabin berikutan penambahan penerbangan

Keterangan Gambar: Tan Sri Tony Fernandes bersama-sama kumpulan pertama juruterbang kadet yang baru sahaja menamatkan latihan mereka dan melaporkan diri pada 1 November 2022.

SEPANG, 9 November 2022 - AirAsia telah menyambung semula pengambilan Pegawai Kedua juruterbang daripada program juruterbang kadet selepas lebih dua tahun setengah bagi menyokong keperluan kakitangan operasi menjelang tahun hadapan.

Pegawai Kedua juruterbang ini akan menjalani latihan dan kursus penarafan jenis pesawat selama enam bulan sebelum dilantik sebagai juruterbang. Seramai 14 Pegawai Kedua juruterbang telah menamatkan latihan mereka baru-baru ini dalam kumpulan pertama dan melaporkan diri pada 1 November lalu.

Terdapat empat kumpulan juruterbang kadet yang akan dilantik pada tahun ini dan AirAsia akan mengambil lebih 180 Pegawai Kedua baharu pada tahun 2023.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati untuk mengambil serta melatih Pegawai Kedua juruterbang sekali lagi selepas lebih dua tahun. Ini bukan sahaja menandakan pemulihan yang ketara terhadap industri pelancongan tetapi ia juga bukti bahawa kerjaya dalam industri penerbangan kekal menarik dan berdaya saing.

“Kami juga berbangga untuk mengumumkan penyambungan semula program juruterbang kadet kami mulai awal tahun hadapan, dengan sasaran untuk mengambil lebih ramai juruterbang kadet pada tahun hadapan bagi menyokong keperluan kakitangan operasi sejajar dengan penambahan jumlah pesawat.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada seramai 740 orang juruterbang yang telah diaktifkan semula di bawah AirAsia Malaysia (AK) menjelang akhir tahun ini serta 372 kru kabin baharu bagi memenuhi permintaan yang kukuh terhadap perjalanan udara.

“Apa yang paling penting, pengambilan juruterbang kadet ini membolehkan kami untuk melabur dalam bakat tempatan di samping komited untuk menyokong tenaga kerja yang lebih pelbagai termasuk 15% juruterbang wanita baharu.”

Program juruterbang kadet AirAsia ialah program latihan berasaskan kompetensi yang direka khas untuk AirAsia bersama-sama rakan penyedia latihannya. Setelah berjaya dipilih, bakal juruterbang akan didaftarkan ke dalam program AirAsia untuk memperoleh Lesen Juruterbang Pelbagai (MPL) dengan Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara (ATPL) untuk menjadi Pegawai Kedua juruterbang di AirAsia.