AirAsia lancar perkhidmatan Kuala Lumpur–Semarang, perkukuh peranannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di Indonesia

SEMARANG, 5 September 2025 – AirAsia Malaysia (AK) telah memulakan perkhidmatan Kuala Lumpur–Semarang, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar yang beroperasi di Indonesia dengan rangkaian antarabangsa terluas ke negara tersebut.

Laluan baharu ini menghubungkan Malaysia dengan ibu kota Jawa Tengah menambah rangkaian destinasi AirAsia yang semakin berkembang di seluruh Indonesia. Dengan kembalinya penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani, para pengembara kini mempunyai akses yang lebih luas untuk menerokai budaya, pusat perniagaan dan zon ekonomi pesat yang membangun di Jawa Tengah. Perkhidmatan ini juga dijangka dapat meningkatkan peluang perdagangan serta pelaburan dua hala, di samping menyokong sasaran Indonesia untuk menarik sehingga 16 juta pelancong asing pada tahun 2025.

Ahmad Luthfi, Gabenor Jawa Tengah berkata: “Dengan Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani dikembalikan sebagai salah satu daripada 36 lapangan terbang antarabangsa di bawah Keputusan Menteri No. KM 37 Tahun 2025, kehadiran semula AirAsia adalah tepat pada masanya. Laluan Kuala Lumpur–Semarang memperkukuh aliran pelancongan, aktiviti perniagaan serta pelaburan ke Jawa Tengah, sekali gus menyokong agenda nasional untuk menjadikan industri penerbangan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.”

Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, berkata: “Pelancaran penerbangan terus dari Semarang ke Kuala Lumpur menawarkan laluan lebih mudah untuk pengembara dari Jawa Tengah. Kesalinghubungan yang dipertingkat ini bukan sahaja memudahkan pelancong dari Indonesia untuk merasai kekayaan budaya dan tarikan pelancongan Malaysia, malah turut menyokong persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026. Kami berharap dapat menyambut lebih ramai pengembara, pencinta budaya dan pelawat dari bandar-bandar di luar hab utama.”

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Indonesia merupakan pasaran antarabangsa terbesar bagi AirAsia Malaysia dan kami berbangga dapat memacu kepimpinan kami sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia. Kemasukan kami ke Semarang mencerminkan komitmen untuk membangunkan bandar-bandar kedua, bukan hanya hab utama, serta menawarkan akses terus yang berpatutan dan mudah untuk para pengembara. Dengan Kota Lama yang mempunyai warisan yang kaya, Lawang Sewu, kuil Sam Poo Kong serta lumpia yang terkenal di seluruh dunia, Semarang adalah permata budaya yang menanti untuk diterokai.”

AirAsia Malaysia (AK) kini mengendalikan penerbangan ke 17 destinasi di Indonesia, termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang dan Semarang, dengan Pontianak bakal bermula pada 12 September 2025. Syarikat penerbangan ini juga menghubungkan Kuching ke Pontianak serta Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan asing dengan rangkaian paling luas di Indonesia.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Semarang (SRG):