AirAsia lantik Ketua Pegawai Komersial untuk terus pacu pertumbuhan syarikat
Memacu pertumbuhan pendapatan melalui strategi berdasarkan pengguna
Meningkatkan 50% hasil syarikat daripada perniagaan digital menjelang 2025
Menjadikan AirAsia sebagai jenama perjalanan dan gaya hidup terkemuka dunia
KUALA LUMPUR, 10 November 2021 - AirAsia Group hari ini mengumumkan pelantikan mantan eksekutif adidas Colin Currie, sebagai Ketua Pegawai Komersial, yang akan memacu pertumbuhan syarikat melalui strategi berdasarkan pengguna menggunakan data dan mencapai objektif kewangan untuk syarikat penerbangan AirAsia dan unit digitalnya. Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 10 November 2021.
Sebagai mantan Pengarah Urusan adidas Asia-Pasifik, meliputi China dan wilayah sekitarnya, Korea Selatan, Jepun, serta negara-negara Asia Tenggara dan Pasifik, Colin bertanggungjawab menjadikan adidas sebagai salah satu jenama pengguna terbaik di rantau ini, meningkatkan hasil syarikat lima kali ganda di China dan merapatkan jurang bahagian pasaran daripada tempat keempat sehingga menjadi antara yang teratas. Beliau juga bertanggungjawab menambah baik model operasi jenama tersebut dan memacu pertumbuhan syarikat di pasaran serantau.
Ketua Pegawai Komersial AirAsia Group Colin Currie berkata: “Saya berbesar hati untuk menyertai AirAsia Group dengan pengalaman dan pengetahuan saya dalam meningkatkan keseluruhan jenama dan prestasi jualan, terutamanya dalam perniagaan digital baharu. Saya telah mengikuti kisah kejayaan AirAsia yang menakjubkan dan saya yakin bersama-sama pasukannya, kami boleh mempercepat dan memperkukuhkan AirAsia sebagai sebuah syarikat teknologi digital dan gaya hidup terkemuka di Asean. Ini adalah masa yang terbaik untuk menyertai AirAsia dalam revolusi syarikatnya di era digital ini.”
Pelantikan ahli perniagaan Malaysia yang berpengalaman tersebut bertujuan untuk menegaskan komitmen dan fokus strategik AirAsia terhadap peningkatan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagang yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan penyertaan Colin dalam AirAsia Group. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di sebuah syarikat global yang juga menumpukan kepada Asean dan akan memacu integrasi data AirAsia Group untuk mempercepatkan pertumbuhan hasil dan mewujudkan sinergi baharu di seluruh perniagaan kami.
“Pelantikan Colin juga adalah bukti kukuh AirAsia untuk memacu pertumbuhan syarikat pasca-Covid. Ia juga merupakan bukti kepada jenama kami yang kuat dan mempunyai bakat yang hebat meskipun kami telah terjejas berikutan pandemik ini.”
Sebelum menyertai adidas, Colin bertugas dalam industri muzik dan hiburan sebagai Pengarah Urusan Sony BMG Music Malaysia. Sebelum itu, beliau mengembangkan pengetahuan pemasaran di Hong Kong dan Australia melalui jawatan pemasaran utama di Citibank, Ansett Australia dan Telstra Mobile.
Colin menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengurusan Perniagaan Hospitaliti dari Universiti Leeds di United Kingdom. Beliau juga memiliki diploma pascasiswazah dalam bidang pemasaran dari Chartered Institute of Marketing di United Kingdom.