AirAsia pacu pertumbuhan dengan empat pesawat A321neo baharu, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat sebanyak 221
SEPANG, 1 August 2024 - Kumpulan AirAsia* berbangga unutk mengumumkan penerimaan empat pesawat baharu jenis Airbus A321neo, menandakan pencapaian penting dalam pertumbuhannya. Penambahan empat pesawat baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan pesawatnya sebanyak 221, dengan jumlah pesawat A321neo sebanyak lapan buah pesawat untuk AirAsia Malaysia dan Thailand.
Sebagai pesawat terpanjang dalam kategori pesawat lorong tunggal Airbus A320, kecanggihan teknologi dan kecekapan bahan api A321neo sejajar dengan matlamat AirAsia untuk mengurangkan kos operasi sambil mengekalkan pengalaman perjalanan terbaik untuk para tetamu. Pesawat ini juga boleh mendarat di lapangan terbang yang lebih kecil seterusnya membuka peluang perkhidmatan di bandar-bandar kedua, dan meningkatkan kecekapan operasi dengan kos 30 peratus lebih rendah berbanding pesawat berbadan lebar.
Sejurus ketibaan, empat pesawat ini terus berkhidamat untuk dua syarikat penerbangan tersebut. Ia juga menyediakan kapasiti yang lebih besar untuk laluan jarak pendek hingga sederhana seperti Kuching, Tawau, Shenzhen, Kunming, Phuket, Krabi, Chiang Mai, dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: “Tahun ini menandakan tahun penting untuk pertumbuhan AirAsia dan kami berbesar hati untuk menyambung semula penghantaran pesawat Airbus A321neo, selaras dengan peningkatan permintaan perjalanan yang berterusan. Pesawat baharu ini membolehkan kami menambah laluan, menawarkan penerbangan jarak lebih jauh, dan meningkatkan kecekapan operasi. Kami juga berbangga untuk bekerjasama dengan AerCap, syarikat penyewaan penerbangan terbesar di dunia yang terkenal dengan portfolio dan capaian global. Kerjasama ini membuktikan keyakinan peneraju industri terhadap trajektori pertumbuhan kami, sementara Airbus tetap memainkan peranan penting dalam rancangan pengembangan kami untuk lima tahun akan datang.
“Pesawat ini akan menjadi pemacu utama bagi perkhidmatan Fly-Thru yang telah menjadi teras pertumbuhan rangkaian kami, melengkapi penerbangan terus untuk menghubungkan para tetamu pelbagai destinasi unik dan belum diterokai di seluruh dunia dengan tambang berpatutan. Tetamu Fly-Thru AirAsia telah meningkat kepada 18 peratus pada tahun ini, dan dengan pesawat baharu ini, kami manjangka mereka akan meningkat kepada 25 peratus menjelang tahun 2025.
“Pada masa hadapan, kami menjangka pesawat kami akan melebihi 300 buah dalam tempoh lima tahun akan datang dan menerbangkan lebih daripada 100 juta tetamu pada setiap tahun. Pengembangan ini menandakan permulaan era baharu AirAsia sebagai rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah pertama di dunia, dengan matlamat untuk menghubungkan Asean dengan dunia dan sebaliknya.”
Pada separuh pertama tahun 2024, AirAsia melancarkan 20 laluan baharu di seluruh kumpulannya, meneruskan perkhidmatan ke lebih 130 destinasi dan menerbangkan lebih daripada 31 juta tetamu. Syarikat penerbangan ini juga mengekalkan faktor muatan yang mengagumkan sebanyak 90 peratus, menunjukkan prestasi dan daya tahan yang kukuh. Selain itu, AirAsia juga melancarkan syarikat penerbangan baharu di Kemboja dan dengan bangganya telah memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Skytrax untuk kali ke-15 berturut-turut.
*Kumpulan AirAsia merujuk kepada syarikat penerbangan AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines, dan AirAsia Cambodia.