AirAsia rai penerbangan pertama dari Ningbo
SEPANG, 2 Ogos 2024 - AirAsia meraikan penerbangan pertamanya dari Ningbo di wilayah Zhejiang, China menerusi dua hab terbesarnya di Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Bandar purba ini terkenal dengan kekayaan budaya dan sejarah.
Para tetamu yang menaiki penerbangan AK181 dari Ningbo dengan muatan hampir 90 peratus telah diraikan oleh Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia; Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia; Nuwal Fadhilah Ku Azmi, Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia dan Afrika Tourism Malaysia; Lim Boon Seong, Ketua Polisi Global dan Hubungan Kerajaan AirAsia serta AirAsia Allstars sewaktu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2). Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ningbo Lishe pada jam 12:55 tengah hari dan telah mendarat di Lapang we an Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 7.00 malam pada 1 Ogos 2024.
Sementara itu, AirAsia juga meraikan penerbangan pertamanya dari Ningbo ke Kota Kinabalu dengan muatan penumpang hampir 100 peratus hari ini. Para tetamu yang menaiki penerbangan AK1519 diraikan dengan meriah oleh Datuk Joniston Bangkuai, Penolong Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB); Mohamad Libra Lee Haniff, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa Asia dan Afrika Tourism Malaysia; Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah dan Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia. Penerbangan tersebut mendarat di Kota Kinabalu pada jam 5:05 petang dengan pancuran air sewaktu ketibaan.
Sebagai syarikat penerbangan asing terbesar di China, AirAsia memainkan peranan penting dalam industri penerbangan dengan memudahkan perjalanan udara antara kedua-dua negara. Kini syarikat penerbangan ini mengendalikan 19 laluan ke destinasi di seluruh China.
Semua rakyat Malaysia layak untuk memasuki negara China tanpa visa untuk tujuan pelancongan sehingga 15 hari sehingga akhir tahun 2025. Kemasukan tanpa visa untuk pelancong dari China ke Malaysia yang berkuatkuasa dari 1 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2026 juga telah menyumbang kepada peningkatan tempahan perjalanan ke Malaysia.