AirAsia rai penerbangan pertama pada Tahun Naga dari Kota Kinabalu ke Shanghai dengan muatan penuh
KOTA KINABALU, 21 Februari 2024 - Sempena sambutan Tahun Baru Cina, AirAsia meraikan penerbangan pertamanya dari Kota Kinabalu ke Shanghai dengan muatan penumpang 100 peratus, sekaligus mencatat kejayaan pertama pada Tahun Naga ini.
Penerbangan sulung AK1516 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 9:30 malam pada 20 Februari 2024 dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai pada jam 2:00 pagi (waktu tempatan) pada 21 Februari 2024.
AirAsia juga mengalu-alukan penerbangan sulung AK1517 dari Shanghai ke Kota Kinabalu dengan muatan lebih daripada 90 peratus. Penerbangan tersebut disambut dengan meriah oleh Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) semasa ketibaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Christina Liew berkata: "Kami berbesar hati untuk menyambut penerbangan pertama AirAsia dari Shanghai hari ini. Ini adalah laluan antarabangsa ke-11 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan ini ke Sabah dengan tiga penerbangan mingguan. Kami menghargai usaha AirAsia untuk terus meningkatkan peluang pelancongan di negeri ini, terutamanya dari pasaran China yang semakin berkembang. Sebagai syarikat penerbangan dengan jumlah laluan tertinggi ke dan dari Sabah, AirAsia memainkan peranan penting dalam menyediakan perjalanan dengan tambang berpatutan kepada semua dan terus menyumbang kepada ekonomi negeri termasuk peluang pekerjaan.
"Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1,119 peratus kemasukan pelancong dari China antara tahun 2022 dan 2023. Kami berbangga dengan komitmen berterusan AirAsia yang terus melancarkan laluan baharu dan mengembangkan perkhidmatan mereka, seterusnya membuka peluang kepada peningkatan industri pelancongan dan ekonomi antara Malaysia dan China. Ini adalah permulaan yang hebat sempena sambutan Tahun Naga pada tahun ini."
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: "Kami berbesar hati untuk meraikan pelancaran laluan baharu ini yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Shanghai. Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, kami yakin akan potensi laluan ini. Pelancaran ini juga merupakan pada masa yang tepat sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Festival Musim Bunga selain inisiatif kemasukan tanpa visa antara kedua-dua negara. Perkhidmatan kami ke China terus berkembang seiring dengan permintaan kukuh. Laluan baharu ini juga penting bagi menyokong inisiatif kerajaan Malaysia yang mensasarkan lima juta pelancong dari China pada tahun ini.
"Kami yakin laluan baharu ini akan terus mendapat permintaan dan berbangga dengan muatan penuh pada penerbangan sulung yang membuktikan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan baharu ini. Kami berharap untuk terus menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan antara dua destinasi popular ini pada masa akan datang.”
Dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK), Shanghai merupakan destinasi keenam di Tanah Besar China yang boleh diakses dari Kota Kinabalu selain Hangzhou, Guangzhou, Shenzhen, Beijing dan Wuhan.