Capital A lantik mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2022 - Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group) mengumumkan pelantikan Surina Shukri, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan. Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 31 Januari 2022. 

Puan Surina ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi utama kerajaan untuk pembangunan ekonomi digital negara. 

Baru-baru ini, beliau telah dinamakan antara 50 Personaliti Paling Berpengaruh di Dunia yang Merevolusikan Tadbir Urus dalam senarai sulung Agile 50 oleh Apolitical & World Economic Forum's Global Future Council on Agile Governance. Beliau membawa bersama lebih dua dekad pengalaman merentasi pelbagai syarikat dan industri dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A Surina Shukri berkata: “Saya berasa amat gembira menyertai Lembaga Pengarah Capital A. Saya sentiasa mengagumi AirAsia kerana daya tahan, semangat keusahawanan dan inovatifnya. Dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, namun AirAsia terus berinovasi dan berubah daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital sehenti. Dengan pasukan kepimpinan yang kukuh, disokong oleh kumpulan pengarah bebas baharu yang kuat, saya teruja untuk membantu membina syarikat ini menjadi juara global.

“Ini adalah masa paling mengujakan untuk menyertai AirAsia dalam revolusi seterusnya mengharungi era digital.”

Keputusan untuk melantik Eksekutif Malaysia yang berpengalaman berfungsi untuk menekankan komitmen dan tumpuan strategik Capital A dalam meningkatkan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagangnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Surina, yang membawa pengalaman luas dan merupakan pemimpin yang diiktiraf dan dihormati dalam bidang transformasi digital, inovasi, kepelbagaian dan keterangkuman. Beliau juga merupakan penyokong kuat dalam pemerkasaan wanita, dan telah melibatkan diri dalam lebih 150 persidangan peringkat tinggi setakat ini. Kami amat kagum melihat pemimpin industri seperti Surina menyertai Capital A. Beliau membawa pengetahuan dan kepakaran strategik sejajar dengan perkembangan  dan pertumbuhan kami sebagai sebuah syarikat teknologi yang diiktiraf di peringkat global dengan misi untuk menawarkan nilai lebih besar kepada semua.”

***

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Surina Shukri

Sebahagian besar kerjaya profesional Surina berkembang di Bandaraya New York, termasuk 17 tahun pengalaman sebagai jurubank pelaburan, ahli strategi dan pemimpin di JPMorgan Chase & Co. sebagai Ketua Strategi, Inovasi dan Pengurusan Perniagaan untuk Perbankan Pasaran Tengah, Ketua Strategi Perbankan Komersial, Ketua Kakitangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial dan Pengarah Eksekutif dalam Perbankan Pelaburan Sumber Asli.

Pada 2018, beliau beralih daripada JP Morgan Chase untuk memulakan SheNovation Ventures, sebuah firma usaha niaga transformasi dan pertumbuhan di mana beliau menasihati syarikat permulaan teknologi kewangan dan blockchain mengenai strategi pertumbuhan dan penjanaan modal serta berunding dengan pemimpin perniagaan tentang perubahan dan transformasi budaya.

Surina merupakan graduan program dwi ijazah Pengurusan dan Teknologi dari institusi terkemuka Universiti Pennsylvania dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi dari The Wharton School dan Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Kejuruteraan Sistem dari Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan. Beliau merupakan alumni Maktab Rendah Sains Mara, Taiping, Malaysia dan telah diiktiraf  dalam Dewan Kemasyhuran almamaternya. Beliau kini juga merupakan Pengarah Bebas dan ahli Jawatankuasa Lembaga Risiko dan Pematuhan CIMB Investment Bank Berhad.