Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes raih Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah atas sumbangan dan transformasi negeri
AirAsia terus perkembang sektor pelancongan negeri dengan 10 laluan baharu
Dari kiri: Zamani Rafique, Pengarah Hubungan Kerajaan AirAsia; Lim Boon Seong, Ketua Dasar Global & Hubungan Kerajaan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat Strategik AirAsia; Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah dan Julinus Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah
KOTA KINABALU, 13 Ogos 2024 – Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, telah diiktiraf oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah atas sumbangan luar biasanya kepada industri pelancongan negeri.
Selama 22 tahun yang lalu, di bawah kepimpinan dan visinya, AirAsia bukan sahaja mentakrif semula perjalanan udara tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah. Penghargaan ini adalah bukti dedikasi Tan Sri Tony dan komitmen teguh AirAsia, sebagai syarikat penerbangan untuk semua, terhadap pertumbuhan dan kemakmuran Sabah.
Kepimpinan pengasas bersama AirAsia ini telah menjadi pemangkin dalam mengubah Sabah menjadi hab pelancongan dan hospitaliti yang berkembang pesat sejak AirAsia menubuhkan habnya di negeri ini dengan sokongan STB. Melalui strategi inovatif dan fokus yang berterusan untuk menjadikan perjalanan dapat diakses oleh semua, syarikat penerbangan ini telah membuka peluang baharu untuk industri pelancongan Sabah, mencipta ribuan peluang pekerjaan dan telah merancakkan ekonomi tempatan. Hari ini, Sabah merupakan hab kedua terbesar AirAsia di Malaysia jelas mencerminkan komitmennya terhadap negeri ini.
Sejak penubuhan hab pada tahun 2002, AirAsia memacu rangkaian untuk menghubungkan Sabah dengan seluruh Malaysia dan dunia. Pada masa ini, AirAsia mengendalikan 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa secara terus ke Sabah, dengan menggunakan 11 pesawat yang berpangkalan di Kota Kinabalu dan merancang untuk menambah bilangan pesawat pada hujung tahun ini. Selain itu, bermula 30 Ogos, AirAsia akan memulakan penerbangan harian antara Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Subang, seterusnya meningkatkan kesalinghubungan dari Sabah. Syarikat penerbangan ini juga bersedia untuk memperkenalkan 10 destinasi baharu dalam tempoh enam bulan akan datang, termasuk laluan ke China dan Vietnam, yang menekankan komitmennya untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.
Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi AirAsia Aviation Group memuji usaha Tan Sri Tony Fernandes dalam memacu pertumbuhan pelancongan dan ekonomi Sabah. Beliau berkata: "Komitmen Tony terhadap pembangunan Sabah sungguh mengagumkan dan amat penting. Asas kukuh yang beliau bina akan memacu perniagaan penerbangan AirAsia ke hadapan, membolehkan kami membina legasi beliau dan terus menyumbang kepada masa depan Sabah yang cerah dengan pelan pertumbuhan berterusan AirAsia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global."
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia berkata: "Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Kami komited untuk terus membangunkan Sabah dan menghargai STB kerana mengiktiraf sumbangan besar kami di negeri ini dalam pelbagai sektor, termasuk dalam industri pelancongan dan logistik. Penghargaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat saya, tetapi juga untuk seluruh keluarga Capital A dan AirAsia, yang telah memberi impak besar bagi memastikan negeri yang indah ini terus berkembang dan makmur. Saya berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama dan akan terus berusaha ke arah masa depan lebih cerah untuk negeri Sabah."
Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata: "Tan Sri Tony Fernandes dan AirAsia telah menjadi rakan kongsi yang tidak ternilai dalam usaha kami untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Usaha mereka telah membawa manfaat besar kepada negeri ini dari segi peningkatan ketibaan pelancong hingga penciptaan pekerjaan dan rangsangan ekonomi tempatan. Sumbangan AirAsia kepada industri pelancongan Sabah sungguh luar biasa dan Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah ini adalah tanda penghargaan terhadap komitmen teguh mereka terhadap visi bersama kami. Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan mereka di masa hadapan."
Julinus Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah berkata: "Sehingga 1 Ogos 2024, AirAsia telah menyumbang sebanyak 55 peratus atau 216 daripada 392 penerbangan domestik mingguan dan 54 peratus atau 84 daripada 156 penerbangan antarabangsa mingguan dengan 12 destinasi antarabangsa ke Sabah dan lebih banyak lagi yang akan datang. Seperti yang selalu dikatakan oleh Tan Sri Tony, "Percayalah kepada apa yang tidak dapat dicapai dan impikan apa yang mustahil." Melalui pertumbuhan luar biasa ini, kami melihat impian tersebut telah menjadi kenyataan kerana kini Sabah adalah antara destinasi pelancongan alam semula jadi, pengembaraan dan budaya utama di rantau ini."
Selain itu, AirAsia Ride, perkhidmatan e-panggilan AirAsia MOVE, platform perjalanan Capital A, melengkapkan perkhidmatan udara AirAsia dengan menyediakan pengangkutan darat yang boleh dipercayai. Dengan purata 25,000 tempahan bulanan dan rangkaian lebih 1,000 pemandu di Sabah, AirAsia Ride memainkan peranan penting dalam meningkatkan keseluruhan pengalaman perjalanan di darat untuk pengunjung dan penduduk tempatan, terutamanya pengangkutan ke lapangan terbang.
Teleport, cabang logistik Capital A, juga telah memberi impak besar terhadap sektor logistik dan e-dagang di Sabah. Dengan tiga hab e-dagang di Sandakan, Kota Kinabalu, dan Tawau, Teleport telah memudahkan penghantaran sebanyak 7.29 juta bungkusan e-dagang ke Sabah pada tahun ini. Sejak melancarkan perkhidmatan pesawat kargo pada bulan Julai, Teleport telah membawa sebanyak 3,800 tan kargo udara keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Secara keseluruhan, Teleport telah memindahkan sejumlah 9,500 tan kargo ke Sabah melalui rangkaiannya pada tahun ini, seterusnya menonjolkan peranannya dalam menyokong ekonomi digital negeri Sabah.
Di samping usaha-usaha ini, kerjasama berterusan AirAsia dengan STB terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelancongan negeri. Pada bulan Julai lalu, airAsia dan STB telah mengumumkan kerjasama strategik untuk meningkatkan industri pelancongan Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang dengan meningkatkan hubungan udara antara Sabah dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta rantau Asean yang lebih besar, Asia Utara, dan Oceania bagi tempoh 2024-2028.