Santan Dinobatkan sebagai Juara Industri di Anugerah ACES 2025
Catherine Goh, CEO Santan, bersama dua Trofi ACES — Anugerah Juara Industri Tahun Ini dan Anugerah Pemimpin Muda Paling Dikagumi Asia.
BALI, 2 DISEMBER 2025 – Santan, perniagaan makanan dan minuman di bawah Capital A Berhad, telah diumumkan secara rasmi sebagai penerima anugerah Juara Industri Tahun Ini di majlis Asia Corporate Excellence & Sustainability Awards 2025 (ACES), yang mengiktiraf kepimpinan cemerlang dan inovasi di seluruh Asia. Selain itu, Catherine Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Santan, turut diiktiraf di bawah kategori Anugerah Pemimpin Muda Paling Dikagumi Asia.
Pencapaian Santan berdasarkan perkembangan dari menyediakan hidangan dalam penerbangan kepada peneraju dalam industri makanan dan minuman. Santan komited untuk menawarkan pengalaman kulinari yang hebat, sama ada di udara atau di darat. Kini, Santan mempunyai operasi yang merangkumi katering dalam penerbangan dan korporat, pembekalan makanan dan minuman siap makan (Ready-To-Eat) kepada pasar raya, kedai serbaneka, rangkaian kopi, restoran, dan tidak lama lagi, hotel serta kereta api. Santan juga sedang mengembangkan penjualan produk runcit seperti makanan kering beku dan kapsul kopi. Dengan menggunakan teknologi dan proses pengeluaran moden, Santan dapat menyediakan hidangan berkualiti tinggi secara konsisten sambil mengekalkan rasa asli rantau Asean.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh, berkata, “Dinobatkan sebagai Juara industri di Anugerah ACES 2025 adalah satu pencapaian besar. Di Santan, terma “makanan dalam penerbangan” tak wujud—yang ada hanyalah makanan yang sedap dan berkualiti. Misi kami adalah menyajikan rasa yang asli, yang mencerminkan kulineri rantau Asean, sama ada di udara atau di darat. Anugerah ini bukan hanya untuk Santan—ia adalah kejayaan untuk makanan, budaya, dan inovasi Asean. Kami teruja untuk terus meneroka peluang menawarkan rangkaian produk hebat dengan teknologi dan idea kreatif. Terima kasih kepada kakitangan Santan yang sentiasa berusaha keras untuk mencipta pengalaman makanan dan minuman terbaik, di udara dan di darat”.
Dr. Shanggari Balakrishnan, Presiden Anugerah ACES berkata, “Santan menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam perkhidmatan makanan, berkembang dalam katering penerbangan, runcit dan katering korporat sambil menyediakan hidangan yang berkualiti dan mudah diakses. Di bawah kepimpinan Catherine, jenama ini telah memasuki pasaran baharu, meningkatkan hasil dengan ketara, dan membuktikan bahawa rasa Asean boleh menyerlah di peringkat global. Pendekatan berani dan berasaskan data beliau telah menjadikan idea-idea besar satu kenyataan, memartabatkan Catherine bukan sahaja sebagai pemimpin muda masa kini tetapi juga satu suara yang membentuk masa depan industri makanan, minuman dan hospitaliti di rantau ini.”
Anugerah ACES mengiktiraf kepimpinan cemerlang dan amalan perniagaan transformatif di seluruh Asia. Kini memasuki tahun ke-12, anugerah berprestij ini meraikan organisasi dan individu yang menggabungkan strategi berwawasan dengan tadbir urus beretika, pertumbuhan mampan, serta impak positif kepada masyarakat. Setiap penerima ACES menetapkan penanda aras kecemerlangan, menunjukkan bagaimana kepimpinan bertanggungjawab dan inovasi mampu mendorong perubahan bermakna, memberi inspirasi kepada industri, dan menyumbang kepada masa depan yang mampan.
TAMAT
Media contcat : Aziz Laikar | azizlaikar@airasia.com