AirAsia menjadi Penaja Utama Liga Ragbi Malaysia

AirAsia to kick off the inaugural Malaysia Rugby League as Main Sponsor.jpg

SEPANG, 3 Februari 2017 - AirAsia akan menjadi Penaja Utama kepada Liga Ragbi Malaysia yang akan bermula pada 4 Februari dalam satu kolaborasi dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU). Kolaborasi ini menandakan usaha pertama AirAsia ke dalam dunia ragbi dalam usaha untuk terus membangunkan ragbi sebagai sukan profesional di Malaysia.

Dianjurkan oleh MRU, Liga Ragbi Malaysia akan menggantikan Malaysia Rugby Super League (MRSL) dan National Inter Club Championship (NICC) di mana 39 kelab ragbi akan bersaing. Melalui Liga Ragbi Malaysia yang baharu ini, MRU bertujuan untuk membina satu platform profesional dan berdaya saing dalam menghasilkan pemain yang berprestasi tinggi dan bertaraf dunia.

AirAsia berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini seiring dengan tujuan untuk mengembangkan sukan tempatan dan memupuk bakat-bakat muda bagi tahun yang akan datang. Selain bekerja dengan MRU, AirAsia juga akan memberi sokongan bermula dari tahap sekolah rendah untuk meningkatkan pengetahuan dan unsur kesukanan ragbi.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, "AirAsia tidak pernah terlibat dalam sukan ragbi sebelum ini tetapi kami percaya terhadap komitmen MRU dalam mencungkil bakat-bakat muda di sekeliling Malaysia. Ragbi adalah sukan yang simbolik dengan mengharungi cabaran dan saya telah menyaksikan semangat atlet yang bercita-cita tinggi semasa perlawanan. Kami berharap dapat merealisasikan impian bakat-bakat muda dan kami amat teruja untuk menjadi penyokong jangka panjang sukan yang hebat ini bersama MRU. "

Dato’ Shahrul Zaman bin Yahya, Presiden Malaysia Rugby Union berkongsi, "Ia adalah satu penghormatan untuk AirAsia menjadi penaja kerana kami percaya kolaborasi jangka panjang ini akan membantu merangsang pertumbuhan sukan ragbi di negara ini. Selain daripada Liga Ragbi Malaysia, kami juga sangat teruja dengan minat AirAsia dalam National Rugby Development Programme (NRDP) dan Get Into Rugby (GIR) kerana kami ingin menggiatkan lagi sukan ragbi agar supaya ramai lagi yang boleh menikmati sukan ini. Kami berharap untuk bekerjasama dengan AirAsia pada masa akan datang untuk menjadikan wawasan ragbi profesional suatu kenyataan."

Liga Ragbi Malaysia akan bermula Sabtu ini di beberapa lokasi sekitar negara.

Malaysia, NewsMinjun YuSepang