Peringatan Peruntukan Bagasi Kabin AirAsia Sepang
SEPANG, 8 March 2017 - AirAsia ingin mengingatkan para tetamu tentang polisi bagasi kabin* untuk memastikan keselesaan dan kelancaran ketika menaiki pesawat, dan seterusnya memastikan bahagian penyimpanan di atas kapal yang mencukupi untuk semua tetamu.
Para tetamu hanya dibenarkan membawa satu bagasi kabin berukuran 56 x 36 x 23cm (termasuk pemegang dan roda) serta satu beg kecil, seperti beg komputer riba atau beg tangan, berukuran 40 x 30 x 10cm. Jumlah berat untuk kedua-dua beg tersebut tidak boleh melebihi 7kg.
Para tetamu dengan bagasi kabin melebihi had berat, had saiz atau melebihi kuantiti yang dibenarkan akan dikenakan caj bagasi berlebihan untuk setiap kilogram atau yuran bagasi yang perlu dibayar di pintu masuk pesawat.
Para tetamu digalakkan untuk pra-tempah peruntukan bagasi berdaftar dalam talian ketika membuat tempahan penerbangan mereka atau melalui khidmat “Urus Tempahan Saya” di laman web AirAsia. Beberapa barangan yang diikat atau dibungkus bersama tidak akan dikira sebagai satu bagasi kabin.
Barangan bebas cukai yang dibeli di lapangan terbang tidak akan menjadi sebahagian daripada peruntukan bagasi kabin dengan syarat ia dibungkus didalam beg plastik kedap udara lutsinar (Security Tamper-Evident Bag) yang disediakan dan di dalam kadar peruntukan barangan bebas cukai negara destinasi anda. Barangan tersebut perlu disertakan bersama bukti pembelian sehingga tiba di destinasi.
Semua pembelian lain, termasuk hadiah percuma dari kedai-kedai bebas cukai, akan dikira sebagai sebahagian daripada peruntukan bagasi kabin. Bayi berumur di bawah 2 tahun tidak diberikan sebarang peruntukan bagasi kabin, manakala kanak-kanak berumur 2 tahun dan ke atas akan menerima peruntukan yang sama seperti orang dewasa.
Apabila terbang bersama bayi atau kanak-kanak, diingatkan kereta sorong bayi tidak boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tetapi boleh didaftar masuk secara percuma.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai polisi bagasi kabin, sila layari airasia.com dan cari maklumat Bagasi di bahagian Maklumat Perjalanan atau melalui AskAirAsia portal (askairasia.com).
*Tertakluk kepada terma dan syarat.