Juruterbang Wanita AirAsia Bawa Naelofar Hijab ke Awan Biru
SEPANG, 8 Jun 2017 - AirAsia dan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab telah bekerjasama untuk melancarkan hijab yang direka secara eksklusif untuk dipakai oleh juruterbang wanita yang berhijab dalam syarikat penerbangan itu.
Mulai bulan Jun 2017, juruterbang wanita AirAsia dan AirAsia X yang berhijab akan mengenakan Naelofar Hijab berwarna putih yang direka khas untuk pekerjaan mereka.
Rudy Khaw, Ketua Bahagian Penjenamaan AirAsia berkata, “Buat julung kalinya, AirAsia berkerjasama dengan pereka hijab untuk menghasilkan hijab bagi para juruterbang wanita kami. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Naelofar Hijab untuk menghasilkan rekaan yang melengkapi gaya juruterbang wanita yang berhijab, di samping memberikan keselesaan dalam menjalankan tugas mereka. Kini, kami juga merancang untuk bekerjasama dengan Naelofar Hijab untuk memberikan nafas baharu kepada rekaan hijab untuk semua pekerja lain.”
Neelofa, Pengasas Naelofar Hijab pula berkata, ”Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi mereka semula hijab untuk para juruterbang wanita mereka. Kesempatan untuk menghasilkan rekaan baharu hijab tersebut adalah sangat menarik dan memberi kami peluang untuk mencipta hijab yang selesa, praktikal, dan bergaya. Kerjasama bersama AirAsia dan para juruterbang wanita mereka dalam dalam setiap aspek rekaan merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan kami berpuas hati dengan produk yang dihasilkan. Kami juga berbangga Naelofar hijab akan terbang tinggi bersama juruterbang AirAsia".
Para juruterbang wanita AirAsia yang berhijab melibatkan diri sepanjang proses mereka hijab tersebut di mana mereka kerjasama dengan pereka Naelofar Hijab untuk menghasilkan hijab yang praktikal dan sesuai untuk tugasan harian mereka. Sebelum dilancarkan, prototaip yang dihasilkan telah menjalani pelbagai ujian pemakaian oleh para juruterbang wanita syarikat penerbangan itu. Hijab terbaru ini menggunakan sejenis fabrik istimewa dengan ciri-ciri tambahan yang amat fleksibel untuk memudahkan pergerakan para pemakai, serta dihiasi simbol Naelofar Hijab bertatahkan kristal Swarovski untuk sentuhan akhir.