Kementerian Pelancongan Republik Indonesia dan AirAsia Meterai Kerjasama

010817.jpg

SHAH ALAM, 1 August 2017 - Kementerian Pelancongan Republik Indonesia dan AirAsia, syarikat penerbangan terbaik dunia, telah memeterai kerjasama untuk memacu sektor pelancongan dengan mempromosikan Indonesia di Malaysia melalui laluan syarikat penerbangan tersebut yang luas merangkumi kepulauan Indonesia.

Kerjasama itu dimeterai hari ini dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh Judi Rifajantoro, Staf Khusus Menteri Pelancongan Infrastruktur, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia; Robert D. Waloni, Penasihat Kanan Menteri Pelancongan dalam Bidang Kemudahan Udara, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia; Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad; dan Rifai Taberi, Pengarah Komersial AirAsia Indonesia.

“Menerusi kerjasama bagi kempen media yang telah kami umumkan hari ini, kami berharap AirAsia akan membawa lebih ramai pelancong ke Indonesia agar lebih ramai pelancong terutamanya rakyat Malaysia dapat melihat keindahan Indonesia melalui rangkaian luas AirAsia. Kerjasama ini merupakan titik pertama dalam perancangan kami untuk terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan para komuniti,” kata Judi Rifajantoro, Staf Khusus Menteri Pelancongan Infrastruktur, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, “Sebagai syarikat penerbangan Asean, kami komited dalam mempromosikan sektor pelancongan ke semua negara di rantau ini. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Republik Indonesia dengan matlamat untuk meningkatkan pelancongan ke Indonesia dan Malaysia serta menggalakkan kesepaduan sosial antara kedua-dua negara. Keunikan AirAsia terletak pada rangkaian kami yang luas meliputi laluan unik di luar bandar untuk negara-negara yang kami terbang. Selain hab utama kami di Kuala Lumpur, kami juga beroperasi dari hab Malaysia yang lain seperti Kuching, Pulau Pinang dan Johor dengan laluan tambahan Fly-Thru untuk menghubungkan para tetamu ke Indonesia. Tambahan pula, rangkaian holistik kami memastikan para tetamu dari pelbagai pelusuk Indonesia boleh terbang ke Malaysia dengan lancar dari satu destinasi ke destinasi lain.”

“Kerjasama ini juga datang tepat pada masanya kerana kami telah melihat permintaan tinggi bagi laluan antara Malaysia dan Indonesia. Pada tahun 2016, kami telah menerbangkan lebih daripada 4 juta tetamu di antara kedua buah negara yang telah menyumbang kepada ketibaan pelancong dalam negara pada tahun lepas. Angka ini hanya sebahagian daripada potensi besar yang boleh kita capai. Kami mengalu-alukan komitmen ini bersama Kementerian Pelancongan Republik Indonesia dan kami yakin akan dapat meningkatkan lagi ketibaan dan pendapatan dalam sektor pelancong untuk kedua-dua negara,” tambah beliau.

Kerjasama tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada usaha pemasaran dari segi pengiklanan, aktiviti promosi dan pelbagai acara dalam bentuk digital, media cetak, radio, penjenamaan dalam penerbangan, pameran dan jualan serta banyak lagi.

AirAsia menghubungkan Malaysia dengan Indonesia melalui lebih 350 kali penerbangan seminggu ke 15 bandar berlainan seperti Banda Aceh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar, dan Yogyakarta. Syarikat penerbangan tersebut juga telah menambah kekerapan ke beberapa laluan di Indonesia baru-baru ini dan telah melancarkan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari kedua-dua negara.

Sempena kerjasama tersebut, AirAsia menawarkan promosi untuk penerbangan ke Indonesia dengan tambang bermula dari RM79* untuk tempahan bermula 1 Ogos 2017 hingga 6 Ogos 2017 untuk tempoh penerbangan segera hingga 25 Februari 2018. Layari airasia.com atau tempah melalui aplikasi mudah alih AirAsia menerusi peranti iPhone atau Android untuk menikmati tambang istimewa tersebut.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.