Ejen Ali dan AirAsia lancar impian dalam #MisiAspirasiAirAsia
SEPANG, 29 September 2017 - Ejen Ali dan AirAsia hari ini mengumumkan kolaborasi kedua-dua pihak melalui kempen #MisiAspirasiAirAsiadi sidang media yang bertempat di Ibu Pejabat AirAsia – RedQ. Kempen yang dilancarkan ini merupakan satu usaha Ejen Ali dan AirAsia sebagai galakan dan inspirasi untuk kanak-kanak menjadi pemimpin dunia di masa akan datang.
Bagi Ejen Ali, sesiapa sahaja berpotensi untuk diangkat sebagai wira dan tiada misi akan dipandang rendah, manakala AirAsia pula ingin menerapkan nilai-nilai beraspirasi tinggi, baik hati, bijak berbelanja dan mesra tapi dalam masa yang memberi keseronokkan kepada kanak-kanak. Kolaborasi ini menggabungkan kesemua kualiti seorang wira yang diharapkan boleh menjadi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menyerlahkan potensi yang ada pada diri mereka.
Selain itu, peminat Ejen Ali boleh menonton siri animasi Ejen Ali musim pertama secara PERCUMA menerusi ROKKI WIFI yang menawarkan hiburan dalam penerbangan (in-flight entertainment) termasuklah permainan,muzik dan kandungan video tanpa henti sesuai untuk menghiburkan kanak-kanak di dalam penerbangan AirAsia.
Di samping itu juga, AirAsia turut memperkenalkan Kombo Bintang Riang edisi Ejen Ali, hidangan khas yang direka mengikut kesesuaian selera kanak-kanak. Justeru, ibu bapa yang melancong bersama anak-anak boleh membuat tempahan hidangan tersebut secara atas talian (online) merentasi kesemua destinasi penerbangan AirAsia di airasia.com dengan harga RM10 bagi penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 bagi Air Asia X (kod penerbangan D7).
Tambahan lagi, dengan menunjukkan bungkusan Kombo Bintang Riang edisi Ejen Ali di kaunter jualan tiket KidZania Kuala Lumpur, peminat Ejen Ali bakal menikmati diskaun sebanyak 30% apabila membeli tiket masuk.
Bagi memulakan kempen ini, Ejen Ali dan AirAsia ingin menjemput para ibu bapa untuk menghantar video anak-anak mereka beraksi sambil menunjukkan kualiti-kualiti seorang wira melalui laman sosial Instagram atau Twitter. Pertandingan ini dibuka dari 29 September 2017 hingga 31 Disember 2017. 10 Ejen cilik terbaik akan dipilih untuk menyertai Ejen Ali dan AirAsia dalam sebuah misi rahsia untuk membawa lebih banyak bantuan dan kegembiraan kepada dunia, berserta dengan hadiah-hadiah menarik termasuklah PENERBANGAN PERCUMA selama setahun bagi seisi keluarga. Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di www.ejenali.my/airasia.
Melalui kerjasama ini juga, Ejen Ali and AirAsia akan memperkenalkan Jet Perisik MATA, sebuah pesawat khas yang dihiasai dengan elemen Ejen Ali, di dalam pesawat AirAsia Airbus A320. Jet Perisik MATA ini bakal melancarkan penerbangannya pada Januari 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, "Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia dalam menjadikan Ejen Ali sebagai contoh yang baik kepada kanak-kanak yang dilihat sebagai ejen perubahan. Tambahan pula, kerjasama ini bersesuaian dengan misi Primeworks Studios untuk membawa nilai Asian Stories for the World dan menyebarkan sayap Ejen Ali ke seluruh rantau ini.”
"Ini merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut seperti AirAsia melalui Ejen Ali. Kami di WAU sentiasa ingin menjadikan Ejen Ali sebagai sumber inspirasi kepada para penonton menjangkaui aspek hiburan, dan saya percaya bahawa kolaborasi ini memenuhi visi itu secara besar-besaran," kata Usamah Zaid, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation.
Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, "Kami teruja dengan kolabarasi bersama Media Prima bagi mengkentahkan karakter animasi Ejen Ali sebagai duta kami. Tetamu kanak-kanak adalah amat penting kepada kami sebagaimana pentingnya ibubapa kepada kami. Kerjasama bersama Ejen Ali ini bertujuan untuk memberi pengalaman menyeronokkan kepada pengembara dalam kalangan golongan muda selain daripada menggalakkan golongan muda menyerlahkan bakat mereka, mengejar impian dan mencapai kejayaan di usia muda seperti Ejen Ali.
“Kini, semua penumpang kami boleh menonton siri animasi Ejen Ali di dalam penerbangan AirAsia, dan menikmati hidangan khas kanak-kanak yang menampilkan Ejen Ali. Terdapat lebih banyak lagi perancangan menarik yang telah disusun bagi masa akan datang. Kami di AirAsia sentiasa mencari inisiatif yang inovatif bagi memastikan para penumpang kami, tanpa mengira usia, mempunyai pengalaman penerbangan yang menyenangkan bersama kami.
Setelah menerima sambutan positif tahun lalu, musim kedua Ejen Ali akan menemui peminat di kaca televisyen bermula 22 September 2017 di saluran TV3, setiap hari Jumaat jam 5.30 petang dan siaran ulang secara dalam talian melalui www.tonton.com.my.