Ground Team Red lancar pusat kawalan lapangan terbang digital pertama di Malaysia

Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR Kevin Chin di majlis pelancaran pusat kawalan lapangan terba…

Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR Kevin Chin di majlis pelancaran pusat kawalan lapangan terbang Ground Team Red di klia2.

SEPANG, 12 November 2018 - Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) hari ini melancarkan pusat kawalan bagi perkhidmatan pengendalian darat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) yang pertama di Malaysia.   

Pusat kawalan digital sepenuhnya ini akan membolehkan GTR mengesan pengendalian pesawat dengan menumpukan maklumat digital dalam masa nyata bagi perlepasan tetamu, penyelarasan bagasi dan aktiviti pengendalian bagasi melalui papan pemuka digital, untuk mensasarkan operasi perlepasan pesawat dalam jangka masa 25 minit.       

Dalam proses pendigitalan operasi tersebut, para kakitangan khidmat tetamu akan menggunakan telefon pintar untuk melancarkan proses di pintu perlepasan, membolehkan mereka untuk memeriksa para tetamu dengan mudah sambil memeriksa proses perlepasan dalam masa nyata dengan cekap dan tepat.   

Telefon pintar yang sama juga akan digunakan di karusel bagasi bagi proses penyelarasan bagasi dan juga proses e-bacaan semula bagi sistem pemuatan untuk menjadikan pengendalian semua bagasi dan beban kargo penerbangan lebih teratur. Proses ini akan meningkatkan aspek keselamatan dengan memastikan 100 peratus ketepatan berat pesawat dan keseimbangan bacaan bagi tujuan perancangan penerbangan dan menyingkirkan arahan muatan yang menggunakan kertas, yang sukar dikendalikan pada waktu malam dan pada cuaca buruk.

Kakitangan GTR juga akan menggunakan peranti mudah alih tersebut untuk melaporkan diri dan menerima tugasan mereka secara automatik, seterusnya menjimatkan masa mereka untuk melaksanakan tugasan tanpa perlu melaporkan diri ke pejabat.   

Antara ciri utama lain bagi pusat kawalan tersebut adalah ruang latihan realiti maya dengan enam modul - pengendalian kargo, pengendalian teknikal (tandas), pengendalian teknikal (perkhidmatan air), pengendalian teknikal (penghawa dingin), pengendalian teknikal (unit kuasa darat) dan pengendalian arah pesawat - yang membolehkan kakitangan darat untuk menjalankan senario dunia sebenar melalui simulasi dengan selamat dan menjalani latihan tanpa memerlukan pesawat sebenar.

Pusat kawalan lapangan terbang tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, bersama-sama Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi GTR Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif GTR Kevin Chin, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad YM Raja Azmi Raja Nazuddin.

Ketua Pegawai Eksekutif Ground Team Red Kevin Chin berkata, “Pusat kawalan digital ini adalah yang pertama di Malaysia dan akan merevolusikan cara operasi perkhidmatan darat. Pusat kawalan ini membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik serta menambah baik pengalaman perjalanan para tetamu dan sambungan hab melalui klia2. Matlamat kami seterusnya adalah untuk menubuhkan lebih banyak pusat kawalan digital di rantau ini pada masa akan datang.”   

Menteri Pengangkutan YB Loke Siew Fook berkata, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada GTR atas usaha mereka untuk meningkatkan operasi pengendalian darat penerbangan melalui Pusat Kawalan Lapangan Terbang GTR. Ini akan menyumbang kepada aliran kerja yang lebih efektif, justeru memberikan manfaat kepada para tetamu dengan memberikan mereka pengalaman perjalanan yang lancar. Saya selalu menekankan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan tahap perkhidmatan di lapangan terbang, justeru saya berasa gembira melihat satu lagi langkah yang betul dalam menjadikan klia2 sebagai terminal bertaraf dunia.”

GTR telah ditubuhkan pada 1 November 2017 sebagai usaha sama di antara AirAsia Berhad dan SATS Ltd Singapura (SATS). GTR menyediakan pelbagai perkhidmatan pengendalian darat komprehensif seperti pengendalian tetamu, perkhidmatan bagasi, pengendalian pesawat, perkhidmatan pengendalian kargo dan perkhidmatan keselamatan. GTR kini beroperasi di 18 lapangan terbang di Malaysia dan Singapura serta mengendalikan lebih kurang 475 penerbangan setiap hari.   


Malaysia, News, EnglishM ASepang