AirAsia Kini Terbang ke Bandar Penuh Bergaya di Hua Hin, Thailand

SEPANG, 28 Februari 2018 – AirAsia kini terbang ke bandar penuh bergaya yang ditunggu-tunggu iaitu Hua Hin, Thailand dengan kekerapan penerbangan sebanyak empat kali seminggu bermula 18 Mei 2018.

Sebagai syarikat penerbangan Asean, laluan baharu ini menandakan laluan ketujuh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) ke Thailand, sejajar dengan usaha berterusan syarikat ini untuk menawarkan rangkaian yang paling luas di Asean dan menghubungkan destinasi yang belum diterokai di rantau ini kepada dunia.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Malaysia berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Hua Hin sebagai laluan terbaru dalam rangkaian kami yang semakin meluas. Sejak melancarkan Phuket pada tahun 2003 sebagai laluan antarabangsa pertama kami dari Kuala Lumpur, kami telah terbang ke tujuh buah bandar di Thailand dan menerbangkan seramai 1.3 juta tetamu pada tahun 2017 dari Kuala Lumpur ke Thailand. Selain itu, Thailand juga menduduki tempat kesembilan di antara negara-negara yang paling ramai dikunjungi dalam laporan Organisasi Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang diterbitkan pada tahun 2017. Oleh itu, kami yakin bahawa Hua Hin akan menjadi destinasi percutian pilihan utama dan berharap laluan baharu ini akan menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan untuk kedua-dua bandar ini.”

Untuk meraikan pengumuman laluan baharu itu, AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua daripada RM79* sehala di airasia.com dan aplikasi mudah alihnya bermula sekarang sehingga 4 Mac 2018 untuk tempoh perjalanan dari 18 Mei 2018 sehingga 26 Oktober 2018.

AirAsia Malaysia kini beroperasi dengan sebanyak 165 penerbangan sehala ke Thailand. Selain Hua Hin, ia juga terbang ke enam laluan lain ke Thailand seperti Bangkok (80 kali seminggu), Phuket (35 kali seminggu), Krabi (21 kali seminggu), Hat Yai (7 kali seminggu), Chiang Mai (14 kali seminggu), dan Pattaya (4 kali seminggu).

Terletak kira-kira 3 jam dari Bangkok, Hua Hin menawarkan para pengunjung pelbagai tarikan daripada tapak bersejarah hingga tarikan bertema yang moden. Bandar peranginan diraja di tepi pantai yang pernah menjadi sebuah perkampungan nelayan ini juga telah berkembang menjadi tempat percutian hujung minggu yang ideal. Ini kerana ia berdekatan dengan tiga daerah lain iaitu Cha Am, Pranburi dan Sam Roi Yod yang mempunyai pelbagai tarikan. Nikmati ketenangan di pantai Hua Hin, terokai hutan air pertama di Asia di Taman Air Vana Nava, tawar-menawarlah di pasar malam terbuka Hua Hin, rasai pengalaman kehidupan pada tahun 1950 Hua Hin di kampung Plearn Wan, dan jangan ketinggalan melawati salah satu stesen keretapi tertua di Thailand, Stesen Keretapi Hua Hin.

Seterusnya, kunjungi Cha Am yang mempunyai pelbagai tarikan bertema unik seperti Camel Republic, Taman Santorini, The Venezia, dan Ladang Biri-biri Swiss. Jika anda lebih sukakan tarikan semulajadi, kunjungi Pranburi untuk pengalaman percutian yang lebih tenang, kemudian terokai air terjun Pala U - salah satu air terjun yang tertinggi di Thailand terletak kira-kira 60km di barat Hua Hin dan Taman Negara Sam Roi Yod; taman laut nasional pertama di Thailand yang mempunyai tujuh tarikan istimewa seperti terusan Khao Daeng, gua Phraya Nakhon, hutan paya air tawar Thung Sam Roi Yot dan lain-lain.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Malaysia, News, EnglishMinjun YuSepang