AirAsia bekerjasama dengan Plug and Play untuk mencari syarikat permulaan terbaik dalam industri pelancongan

Kerjasama ini merupakan penglibatan pertama syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia itu ke Lembah Silikon

SEPANG, 28 Mac 2018 - AirAsia mengumumkan kerjasama dengan Pusat Teknologi Plug and Play, syarikat permulaan inovasi global yang beribu pejabat di Lembah Silikon.

AirAsia bakal menjadi rakan program Pelancongan dan Layanan Plug and Play selain menjadi mentor kepada perniagaan baharu dan bekerjasama untuk menerokai teknologi baharu.

Kerjasama ini akan membolehkan AirAsia mengenal pasti, memantau dan menyokong syarikat
permulaan yang berkaitan sementara mereka membangunkan produk dan teknologi baharu untuk sektor pelancongan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat) Aireen Omar berkata, “Kerjasama ini - yang pertama untuk terus mencetus inovasi - membolehkan kami mengenal pasti teknologi terkemuka untuk membantu mengekalkan kedudukan kami sebagai peneraju tambang rendah dan pengalaman para tetamu selain
mengubah AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan menjadi sebuah syarikat digital global.”

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Plug and Play Saeed Amidi berkata, “Kami akan membantu AirAsia mencari syarikat permulaan terbaik dalam industri ini untuk menyuntik idea baharu ke dalam perniagaan mereka. Kepakaran mereka merupakan satu tambahan yang baik kepada ekosistem kami dan kami mengalu-alukan mereka ke Lembah Silikon.”

AirAsia merupakan perintis dalam menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan pengalaman perjalanan para tetamunya. Syarikat penerbangan ini merupakan antara yang pertama memperkenalkan tempahan menggunakan SMS pada tahun 2003, diikuti dengan laman web airasia.com - yang membolehkan para tetamu membuat tempahan penerbangan, daftar masuk dan mengubah tempahan - serta aplikasi mudah alih, yang telah memenangi anugerah Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia, dan Aplikasi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia di Anugerah Pelancongan Dunia 2015.

Di lapangan terbang pula, AirAsia adalah perintis dalam menggunakan kiosk layan diri yang
membolehkan para tetamu mendaftar masuk, mencetak pas masuk dan tag bagasi mereka, serta memperkenalkan tag bagasi di rumah dan fungsi daftar masuk bagasi sendiri. Baru-baru ini, AirAsia telah melancarkan sistem pengecaman wajah Fast Airport Clearance Experience System (FACES) di pintu masuk, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di Asia yang menyediakan pengalaman automatik sepenuhnya dari daftar masuk ke pintu perlepasan.

AirAsia juga telah banyak melabur dalam perkhidmatan digital selari dengan proses transformasinya untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan digital, termasuklah aplikasi perkhidmatan kewangan BigPay, hiburan dan sambungan ROKKI, program Kesetiaan BIG AirAsia dan logistik menerusi RedBox.