AirAsia dan Duke of York Mencari Usahawan Terbaik di ASEAN

AirAsia dan Duke of York menjemput semua usahawan untuk menghantar permohonan mereka ke Pitch@Palace ASEAN 1.0

Hanya 3 Hari Lagi untuk Menghantar Penyertaan Pitch@Palace dan Merealisasikan Impian Perniagaan Anda

SINGAPURA, 18 Mei 2018 - AirAsia, rakan strategik bagi Pitch@Palace ASEAN 1.0, kini mencari usahawan teknologi terbaik di ASEAN.

Ditubuhkan oleh Duke of York pada tahun 2014, Pitch@Palace berfungsi sebagai sebuah platform untuk menggalakkan dan mempercepatkan sektor keusahawanan.

Pitch@Palace ASEAN 1.0 merupakan edisi pertama di rantau ini, menjemput para usahawan dan syarikat permulaan untuk mengambil bahagian dalam program berprestij ini.

Usahawan yang terpilih akan menerima bimbingan dan peluang untuk berhubung dengan para penyokong  seperti Ketua Pegawai Eksekutif, pelabur, mentor, rakan niaga dan ramai lagi.

Peserta juga akan dibimbing dan dinilai oleh pihak pengurusan utama AirAsia, termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes.

Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami amat yakin akan potensi ASEAN. Dengan lebih daripada 630 juta rakyat dan ekonomi ketujuh terbesar di seluruh dunia, tidak dinafikan bahawa ASEAN akan menjadi nadi untuk syarikat permulaan. Lihatlah kejayaan syarikat-syarikat tempatan seperti BandLab dari Singapura, Grab dari Malaysia dan Go-Jek dari Indonesia. Selaras dengan komitmen AirAsia dalam sektor digital, kami berharap Pitch@Palace ASEAN 1.0 yang bertemakan ‘Inovasi dan Teknologi’ akan menemui usahawan teknologi unik di ASEAN dan seterusnya menjadi pemain global.”

Pitch@Palace ASEAN 1.0 akan diadakan di Marina Bay Sands, Singapura, pada 5 Jun 2018.

Tema pada tahun ini yang merupakan ‘Inovasi dan Teknologi’ menjemput semua peserta dari kategori yang berkaitan dengan teknologi. Syarikat permulaan bagi semua peringkat amat dialu-alukan untuk memohon.

Pitch@Palace ASEAN bertujuan untuk menyokong para usahawan yang telah mengenal pasti peluang dalam bidang-bidang berikut:

  • Bioteknologi dan Teknologi Perubatan
  • Teknologi Pengguna dan Internet Saling Berhubung (Internet of Things)
  • Keselamatan Siber
  • Pengurusan Data dan Analisis
  • Teknologi Pendidikan
  • Teknologi Tenaga, Alam Sekitar dan Teknologi Yang Boleh Diperbaharui
  • Teknologi Kewangan (Fintech)
  • Teknologi Kecergasan
  • Teknologi Kesihatan dan Kesejahteraan
  • Teknologi Perindustrian
  • Bahan-bahan dan Produk Sampingan
  • Teknologi Media, Komunikasi dan Hiburan
  • Robotik, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan Realiti Maya
  • Bandaraya Pintar
  • Lain-lain

Untuk menyertai program ini, para usahawan boleh memohon di sini: www.pitchatpalaceasean.com/apply/ (Tarikh tutup penyertaan adalah pada 21 Mei 2018.)

Seramai 20 orang usahawan akan dipilih untuk menghadiri Pitch@Palace ASEAN Boot Camp di pejabat Facebook Singapura pada 4 Jun 2018, di mana mereka akan menerima sokongan dan bimbingan bagi membangunkan dan mengasah idea mereka, serta sokongan dalam pelaburan, perkenalan dan bimbingan strategik.

Para usahawan terpilih ini juga akan mempersembahkan idea mereka kepada penonton yang berpengaruh dalam sektor keusahawanan, teknologi, media dan pelaburan di Pitch@Palace ASEAN 1.0 yang akan diadakan di Singapura pada 5 Jun 2018.

Pemenang akan dipilih berdasarkan undian para penonton, dan akan dijemput untuk mempersembahkan idea mereka di Pitch@Palace Global, yang akan berlangsung di St James's Palace di London, UK pada Disember 2018.

Kesemua 20 usahawan juga akan menyertai rangkaian Usahawan Pitch@Palace Alumni yang semakin berkembang dan menerima sokongan berterusan.