AirAsia Mula Terbang ke Hua Hin, Thailand
SEPANG, 18 Mei 2018 – AirAsia meraikan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke bandar peranginan penuh bergaya, Hua Hin, Thailand pada hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).
Penerbangan selama dua jam itu telah berlepas dari klia2 pada jam 10.00 pagi dengan muatan penumpang seramai 93 peratus dan telah dihantar oleh Spencer Lee, Ketua Komersial, AirAsia Malaysia. Penerbangan sebanyak empat kali seminggu itu merupakan laluan ketujuh ke Thailand oleh AirAsia dari Kuala Lumpur.
Penerbangan sulung tersebut juga telah disambut dengan pancuran air setelah ia mendarat di Lapangan Terbang Hua Hin. Para tetamu juga telah disambut oleh En. Pairin Chuchotethavorn, Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand; En. Nopporn Wuttikul, Datuk Bandar Hua Hin; En. Daroon Saengchai, Ketua Pengarah, Jabatan Lapangan Terbang Thailand, dan tetamu kehormat yang lain.
Spencer Lee, Ketua Komersial, AirAsia Malaysia berkata, “Pada tahun lepas, kami telah menerbangkan lebih 1.3 juta orang tetamu dari Kuala Lumpur ke Thailand, membuktikan bahawa negara yang penuh dengan senyuman ini adalah salah satu destinasi percutian yang paling popular dalam 130 destinasi kami. Hari ini, kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan Hua Hin kepada para tetamu dan lebih penting lagi, kami teruja untuk memperkenalkan Hua Hin ke destinasi antarabangsa pertamanya iaitu Kuala Lumpur, Malaysia. Dengan lebih 93 peratus tetamu dalam penerbangan sulung ini, kami berharap laluan unik ini akan terus memperkasakan ekonomi, budaya dan hubungan antara Malaysia dan Thailand.”
En. Pairin Chuchotethavorn, Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand pula berkata bahawa kerajaan Thai mempunyai rancangan untuk membangunkan Lapangan Terbang Hua Hin dengan matlamat untuk meningkatkan keupayaannya untuk menampung para penumpang serta syarikat penerbangan komersil untuk menarik lebih ramai pelancong. “Pengenalan penerbangan empat kali seminggu oleh AirAsia Malaysia pada hari ini (18 Mei 2018) adalah permulaan yang baik untuk menyokong usaha kerajaan dan ia juga disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan.”
AirAsia kini beroperasi dengan sebanyak 165 penerbangan sehala ke Thailand dari Kuala Lumpur. Selain Hua Hin, ia juga terbang ke enam laluan lain seperti Bangkok (80 kali seminggu), Phuket (35 kali seminggu), Krabi (21 kali seminggu), Hat Yai (7 kali seminggu), Chiang Mai (14 kali seminggu), dan Pattaya (4 kali seminggu).
Terletak kira-kira 3 jam dari Bangkok, Hua Hin menawarkan para pengunjung pelbagai tarikan daripada tapak bersejarah hingga tarikan bertema yang moden. Bandar peranginan di tepi pantai yang pernah menjadi sebuah perkampungan nelayan ini telah berkembang menjadi tempat percutian hujung minggu yang ideal. Ini kerana ia mempunyai pelbagai tarikan yang berdekatan dengan tiga daerah lain iaitu Cha Am, Pranburi dan Sam Roi Yod. Nikmati ketenangan di pantai Hua Hin, terokai hutan air pertama di Asia di Taman Air Vana Nava, tawar-menawarlah di pasar malam terbuka Hua Hin, rasai pengalaman kehidupan pada tahun 1950 Hua Hin di kampung Plearn Wan, dan jangan ketinggalan melawati salah satu stesen keretapi tertua di Thailand, Stesen Keretapi Hua Hin.
Seterusnya, kunjungi Cha Am yang mempunyai pelbagai tarikan bertema unik seperti Camel Republic, Taman Santorini, The Venezia, dan Ladang Biri-biri. Jika anda lebih sukakan tarikan semulajadi, kunjungi Pranburi untuk pengalaman percutian yang lebih tenang, kemudian terokai air terjun Pala U - salah satu air terjun yang tertinggi di Thailand terletak kira-kira 60km di barat Hua Hin dan Taman Negara Sam Roi Yod; taman laut nasional pertama di Thailand yang mempunyai tujuh tarikan istimewa seperti terusan Khao Daeng, gua Phraya Nakhon, hutan paya air tawar Thung Sam Roi Yot dan lain-lain.
Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).
Jadual Penerbangan untuk Kuala Lumpur, Malaysia (KUL) – Hua Hin, Thailand (HHQ):