AirAsia X dan Safran Landing Systems meterai perjanjian MRO

SEPANG, 4 Mei 2018 – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail (tengah kiri) dan Ketua Pengarah Safran Landing Systems Singapore Shang Cheow Beng (tengah kanan) hari ini mengumumkan penandatanganan kontrak perkhidmatan Penyelengaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) 24 pesawat Airbus A330. Turut hadir pihak pengurusan AirAsia X dan Safran.

Kontrak terbabit merangkumi keseluruhan perkhidmatan baik pulih dan pembaikan untuk 24 giar pendaratan pesawat Airbus A330. Perkhidmatan berjadual pertama akan ditawarkan oleh MRO Safran Landing Systems yang bertempat di Singapura dan akan bermula dari 2018 sehingga 2025.

Safran Landing Systems Singapore kini ditugaskan untuk membekalkan giar pendaratan 32 pesawat Airbus A320 untuk rakan sekutu syarikat penerbangan jarak dekat AirAsia, dan dengan kontrak yang baharu ditandatangani ini, jumlah kontrak bersama Kumpulan AirAsia kini adalah 56.