Nasihat perjalanan AirAsia sempena perayaan Tahun Baru Cina

SEPANG, 30 Januari 2019 – Sampena sambutan perayaan Tahun Baru Cina, AirAsia menggalakkan para tetamu untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya 3 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan bagi melepasi kesemua formaliti perjalanan dan mengelakkan kesesakan yang dijangka akan berlaku semasa musim percutian ini.

Para tetamu juga diingatkan supaya daftar masuk sendiri sama ada melalui laman web, aplikasi mudah alih atau kiosk daftar masuk dan mencetak pas masuk lebih awal bagi memudahkan perjalanan mereka. Perkhidmatan layan diri boleh dilakukan 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan sehingga 1 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia, dan sehingga 4 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X.

Tetamu yang membuat tempahan secara berkumpulan, mempunyai kekurangan kebolehan bergerak atau memerlukan bantuan istimewa hanya boleh mendaftar masuk menerusi kaunter sahaja dan perlu tiba lebih awal bagi menyelesaikan kesemua formaliti perjalanan. Bagi tetamu yang mempunyai bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi ditutup 60 minit sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan.

Para tetamu juga disarankan untuk membuat pra-tempahan bagi peruntukan bagasi daftar masuk yang memberikan lebih nilai. Para tetamu juga boleh menambah peruntukan bagasi sehingga 4 jam sebelum waktu pelepasan yang dijadualkan.

Setiap seorang tetamu hanya dibenarkan membawa satu beg kabin (tidak melebihi dimensi 56 x 36 x 23cm) dan satu beg komputer riba atau beg tangan ke atas pesawat. Jumlah berat kedua-dua beg kabin yang dibenarkan tidak harus melebihi 7kg.

Buatlah pra-tempahan dalam talian bagi hidangan kombo Santan dari sekarang hingga 4 jam sebelum waktu pelepasan untuk menikmati lebih penjimatan dan memastikan hidangan pilihan tersedia serta menerima hidangan lebih awal. Cubalah Kombo Hidangan musim perayaan yang terhad - nasi ayam mentega dan tart nanas dengan hanya RM13 (kod penerbangan AK) dan RM18 (kod penerbangan D7), yang hanya boleh didapati menerusi tempahan dalam talian.

Selain itu, pilihlah tempat duduk bersama keluarga dan rakan-rakan apabila anda terbang atau nikmati ruang yang lebih besar dengan Pilihan Tempat Duduk.

Hidangan Kombo Santan, Pilihan Tempat Duduk dan pembelian peruntukan bagasi boleh didapati di pautan ‘Tempahan Saya’ di laman airasia.com atau di aplikasi mudah alih AirAsia.

Status penerbangan pula boleh disemak beberapa jam sebelum waktu pelepasan menerusi laman web atau aplikasi mudah alih AirAsia.

AirAsia mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan selamat bercuti kepada para tetamu kami. Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).