AirAsia gesa Malaysia Airports tangani masalah kesesakan imigresen di klia2
SEPANG, 17 Oktober 2019 - Dalam persediaan Malaysia untuk mengalu-alukan kedatangan lebih 30 juta pelancong asing untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), AirAsia hari ini menyeru Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk segera menangani masalah kesesakan kaunter-kaunter imigresen di klia2.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, “Kesesakan disebabkan oleh barisan yang panjang di kaunter-kaunter imigresen bagi pasport asing di klia2 berlaku setiap hari. Ia menjadi semakin teruk dan telah ramai tetamu membuat aduan kepada kami bahawa mereka terlepas penerbangan sambungan dan acara penting.
“Lapangan terbang merupakan tempat pertama yang akan dilihat oleh para pelancong setibanya di Malaysia, dan ia sangat memalukan apabila pengalaman pertama mereka di negara kita menunjukkan ketidakcekapan dan perkhidmatan yang lemah, terutamanya apabila Tahun Melawat Malaysia 2020 akan tiba tidak lama lagi.”
Dalam beberapa kes, para tetamu pernah beratur lebih dari satu jam di barisan imigresen, terutamanya pada waktu puncak antara 3.00pagi hingga 7.00pagi, 2.00petang hingga 7.00petang dan 9.00malam hingga tengah malam.
“Masalah ini disebabkan oleh reka bentuk dan konfigurasi klia2 yang tidak betul. Kami telah bangkitkan isu ini kepada MAHB dan telah diberikan jaminan bahawa pengubahsuaian akan dibuat bagi menambahkan kawasan menunggu untuk kaunter imigresen sehingga ke kawasan yang kini didiami oleh premis bebas cukai. Walau bagaimanapun, sehingga kini kita masih tidak melihat sebarang tindakan untuk menangani masalah ini dari pihak MAHB dan kesesakan menjadi semakin teruk setiap hari mengakibatkan para tetamu terpaksa beratur panjang malah hingga ke pintu ketibaan,” kata Riad dan Benyamin.
“Jabatan Imigresen sangat memahami dan membantu dalam memastikan semua kaunter dibuka pada waktu puncak. Selain itu, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Jabatan Imigresen kerana kawasan lantai serta susun aturnya di klia2, termasuk untuk menambah kaunter dan kawasan menunggu yang lebih luas adalah di bawah bidang kuasa MAHB.
“Sebagai badan kawal selia yang melindungi pengguna perkhidmatan penerbangan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga perlu memberi perhatian terhadap masalah ini agar ianya dapat ditangani dengan segera.”