AirAsia bidas kumpulan syarikat penerbangan legasi sebagai “tidak relevan, pentingkan diri”

SEPANG, 25 Julai 2019 - Kumpulan AirAsia hari ini membidas komen-komen yang dibuat oleh Lembaga Perwakilan Penerbangan “Board of Airline Representatives (BAR)” sebagai tidak perlu dan hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja dalam perselisihan antara pengendali syarikat penerbangan tambang rendah dengan pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat berkata: “Kedudukan BAR tidak memungkinkannya memberikan pendapat yang wajar dalam dalam isu ini. Memandangkan syarikat penerbangan yang menganggotai BAR tidak beroperasi di klia2 dan oleh itu tidak terjejas dengan keputusan mahkamah tersebut, komen-komen oleh BAR adalah tidak relevan dan tidak bermanfaat. BAR tidak berupaya memberikan komen yang berimpak mahupun positif kerana mereka tidak mewakili syarikat mahupun para penumpang  penerbangan tambang rendah.”

BAR yang mendakwa mewakili sebahagian besar syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia semalam mengalu-alukan keputusan mahkamah tinggi yang menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan saman oleh MAHB atas tunggakan pembayaran cukai lapangan terbang. Mereka gembira kerana caj perkhidmatan penumpang (PSC) akhirnya diselaraskan “setelah sekian lama”.

Minggu lepas Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa AirAsia dan AirAsia X harus membayar tunggakan PSC sebanyak RM40.6 juta yang tidak dikutip daripada penumpang-penumpangnya kepada anak syarikat MAHB iaitu Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Kumpulan AirAsia telah mengemukakan rayuan.

Riad berkata terdapat satu tanggapan salah dalam kalangan banyak pihak yang beranggapan bahawa Kumpulan AirAsia telah ingkar untuk membayar jumlah yang dituntut oleh MAHB. “Harus ditekankan di sini AirAsia tidak mengutip bayaran ini dari penumpang-penumpang kerana kami percaya mereka tidak patut dibebankan dengan caj yang tidak adil bagi kualiti perkhidmatan lebih rendah di klia2 berbanding servis dan kemudahan yang jauh lebih baik dan selesa di KLIA. MAHB menyaman AirAsia untuk mendapatkan jumlah yang tidak dikutip dari para penumpang ini.”

Dalam satu kenyataan sebelum ini, BAR dilaporkan berkata bahawa “keingkaran AirAsia untuk mengutip caj tambahan PSC yang dikenakan kepada para penumpang akan mencetuskan persaingan tidak seimbang. 

“Kami percaya dan mahukan persaingan sihat, jadi adalah tidak adil bagi sesebuah syarikat penerbangan untuk menentukannya (PSC). Jika di negara lain, tindakan AirAsia untuk tidak mengutip caj yang ditetapkan atau menahan sebarang bayaran akan mengakibatkan ia dikenakan penalti dan pesawat mereka boleh disita,” BAR dilaporkan berkata. 

BAR diketuai oleh wakil dari Malaysia Airlines Berhad. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin juga dilaporkan mengalu-alukan keputusan mahkamah tinggi itu. Menurut beliau, keputusan mahkamah tersebut membolehkan MAHB mengutip jumlah PSC seperti yang diwartakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). 

Komen-komen beliau secara jelas menyokong BAR. Beliau dilaporkan berkata: “Ini juga bermaksud kita akan mempunyai suasana persaingan yang lebih adil di antara syarikat penerbangan yang beroperasi di dua terminal ini, malah membolehkan Malaysia sejajar dengan garis panduan antarabangsa, termasuk prinsip harga bebas diskriminasi di lapangan terbang yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO).”   

Riad berkata: “Komen-komen dari Raja Azmi dan BAR yang sangat serupa ini menimbulkan kemusykilan. Ternyata, komen-komen mereka hanyalah untuk kepentingan sendiri tanpa mengambil kira kepentingan para penumpang awam.”  

“Demi mewujudkan persaingan yang adil yang sering kali diperkatakan Raja Azmi, MAHB harus mempertimbangkan secara serius untuk membina sebuah terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) yang khusus dan berfungsi dengan sempurna serta mengenakan caj lebih rendah seperti di Jakarta dan Tokyo, umpamanya. Ini akan menggalakkan pertumbuhan industri penerbangan tempatan dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama,” tambah beliau.  

Berbanding dengan syarikat penerbangan yang diwakili BAR yang kesemuanya berpangkalan di KLIA, Riad berkata Kumpulan AirAsia bertanggungjawab membawa hampir kesemua penumpang yang menggunakan klia2. Malahan, jumlah penumpang AirAsia di klia2 ini lebih tinggi dari jumlah penumpang kesemua 39 syarikat penerbangan yang diwakili BAR yang menggunakan KLIA.

Berdasarkan data trafik penumpang MAHB, dari 31.89 juta penumpang yang terbang menerusi klia2 pada 2018, 30.91 juta atau 97 peratus adalah penumpang Kumpulan AirAsia. Manakala hanya 28.1 juta penumpang menggunakan terminal utama KLIA pada 2018, iaitu jumlah penumpang keseluruhan kesemua 39 syarikat penerbangan anggota BAR.

Tambahan pula, ujar Riad: “Sejak 2017 hingga Jun 2019, sebanyak RM1.4 bilion atau 75 peratus daripada jumlah bayaran yang dibuat oleh Kumpulan AirAsia kepada MAHB merupakan PSC yang pada hakikatnya dibayar oleh para penumpang sendiri. Ini belum termasuk tambahan RM23 yang enggan dikutip oleh AirAsia bagi penumpang yang terbang ke destinasi luar dari ASEAN.”

Baki 25 peratus lagi bayaran kepada MAHB terdiri daripada caj lapangan terbang termasuk caj pendaratan, parkir, jambatan aero dan sewa fasiliti yang ditanggung Kumpulan AirAsia, kata beliau.

MAHB - yang mendakwa mereka mengenakan PSC seperti yang dimandatkan oleh MAVCOM - melaporkan peningkatan sebesar 202.6 peratus untung bersih bagi tahun 2018 ke RM727.3 juta jika di bandingkan dengan tahun sebelumnya. Untuk rekod, MAVCOM pula mengutip RM1 daripada setiap penumpang lapangan terbang untuk menampung biaya operasinya.

“Ternyata sebahagian besar pendapatan dan keuntungan MAHB adalah dari bayaran PSC oleh para penumpang yang dikutip dan dibayar secara penuh oleh AirAsia kepada MAHB mengikut syarat pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak. Lantaran itulah kami tidak bersetuju untuk mengutip tambahan RM23 yang membebankan penumpang bagi penggunaan lapangan terbang klia2 yang jauh berbeza kualitinya jika dibandingkan dengan lapangan terbang KLIA yang lebih mewah dan lengkap,” kata Riad. 

Riad menyifatkan pandangan BAR sebagai berat sebelah dan hanya melindungi kepentingan komersial syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang diwakilinya. Pada masa yang sama ia mengabaikan pelbagai isu yang dihadapi syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Malaysia. 

“BAR sepatutnya tidak berat sebelah dan mengiktiraf peranan syarikat penerbangan tambang rendah sebagai komponen penting dalam industri penerbangan dan pelancongan negara. Mereka patut menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berpandangan jauh dalam membangun industri penerbangan dan pelancongan Malaysia dan tidak hanya menjaga kepentingan sempit diri sendiri.”

- TAMAT -


Malaysia, News, EnglishM ASepang