Mesej daripada Tony Fernandes
Pada 20 tahun lepas, Kamarudin dan saya memulakan AirAsia untuk membuka peluang kepada semua orang untuk terbang. Malang tidak berbau, dan peluang tersebut kini tertutup.
Ini adalah masa yang mencabar untuk semua. Ianya sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya dan tiada sesiapa pun menjangka bahawa kita semua akan menghadapi cabaran getir ini. Jadi, saya ingin bersikap terbuka dan berterus-terang dalam situasi terkini.
Tidak dinafikan bahawa semua industri terjejas dengan cabaran ini, dan kami tidak terkecuali. Ini mungkin cabaran yang terbesar yang kami harus lalui. Bukan sahaja syarikat tidak dapat beroperasi sepenuhnya berikutan 96% pesawat tidak beroperasi, malah kami juga mempunyai komitmen kewangan berterusan seperti membayar pembekal bahan api dan ejen pajakan selain tiada pendapatan.
Berikutan cabaran-cabaran ini, kami berusaha untuk mengurangkan kos pada masa ini supaya kami boleh beroperasi secepat mungkin dan terus menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, yang membuka peluang kepada semua untuk terbang bersama perkhidmatan dan nilai terbaik.
Kami adalah salah satu daripada beberapa buah syarikat penerbangan di dunia yang tidak melepaskan semua kakitangan kami. AirAsia adalah sebuah keluarga dan beribu-ribu Allstars bergantung kepada syarikat ini untuk meneruskan kehidupan mereka dan kesejahteraan keluarga mereka. Datuk Kamarudin dan saya telah bersetuju untuk tidak menerima sebarang gaji sepanjang tempoh ini. Selain itu, Allstars daripada seluruh perniagaan kami telah menerima potongan gaji sementara daripada 15% hingga 75%, bergantung kepada jawatan, supaya syarikat dapat diteruskan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengorbanan mereka dan percaya kami dapat mengharungi cabaran ini bersama-sama seperti sebuah keluarga.
Walau bagaimanapun, saya jamin bahawa AirAsia akan terus kukuh dan menumpukan sepenuh perhatian kepada operasi kami pada masa hadapan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada anda. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada anda yang terus setia bersama AirAsia dan saya berharap anda sekeluarga sihat sepanjang tempoh ini. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kerana menjejaskan rancangan perjalanan anda. Seperti syarikat penerbangan lain, AirAsia tiada pilihan tetapi membatalkan sejumlah besar penerbangan berikutan sekatan perjalanan oleh kerajaan untuk membendung wabak COVID-19.
Saya tahu ramai di kalangan anda yang menyuarakan kekecewaan kerana tidak mendapat bayaran balik untuk penerbangan anda tetapi saya menggalakkan anda untuk menerima kredit sebagai alternatif yang terbaik. Lebih daripada 80 peratus daripada anda telah menerima tawaran kredit dan kami amat menghargainya. Kami ingin memaklumkan bahawa polisi kami sejajar dengan banyak pengendali dalam industri pelancongan dan mencerminkan fokus kami untuk tampil di sebalik tempoh yang sukar ini dan membawa anda terbang bersama kami secepat mungkin. Kami telah memastikan bahawa kami mematuhi semua peraturan dan keperluan kerajaan masing-masing serta pihak berkuasa pengguna dan kami percaya ini adalah penyelesaian yang terbaik. Anda adalah antara 600 juta tetamu yang telah terbang bersama AirAsia dan kami tidak sabar untuk bersama anda sekali lagi selepas semua ini tamat.
Walaupun kami amat menggalakkan anda untuk menerima kredit yang bukan sahaja dapat dinikmati dengan kadar segera tetapi mempunyai tempoh kesahihan selama 365 hari serta membenarkan anda untuk membuat pertukaran tarikh penerbangan tanpa had, kami tetap menerima permintaan untuk bayaran balik berdasarkan kes demi kes. Walau bagaimanapun, berikutan jumlah permintaan yang amat tinggi, ia mungkin mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu.
Saya juga ingin mengambil maklum komen yang saya lihat mengenai Allstar maya kami AVA. Kami menghargai maklum balas diberikan oleh anda dan pasukan saya sedang melakukan penambahbaikan kepada sistem setiap hari. Ketika ini, pasukan kami dan AVA mengendalikan jumlah permintaan sehingga 10 kali ganda, bersamaan dengan hampir setengah juta tetamu setiap hari.
Kami terus bertugas sepanjang masa, untuk memberi bantuan kepada setiap seorang daripada anda. Kami telah mengerah sokongan tambahan buat pasukan khidmat pelanggan kami, termasuk 1,800 Allstar daripada jabatan lain, yang telah menawarkan diri secara sukarela untuk membantu, agar lebih ramai ejen atas talian sedia membantu anda melalui Sembang Langsung, Facebook Messenger, Twitter & WeChat 24/7.
Kami tidak pernah melalui saat seperti ini sebelum ini dan kami sedang melakukan yang terbaik. Kami tidaklah sempurna tetapi kami berusaha untuk melakukan sedaya upaya untuk warga kerja kami dan tetamu kami setiap masa. Ini adalah perkara yang tidak dijangka berlaku tetapi ianya bersifat sementara dan kami akan kembali lebih kuat, mewarnai langit biru dengan warna merah dan memastikan semua orang boleh terbang sekali lagi.
Sehingga bertemu lagi...
Kekal di rumah, sentiasa berhati-hati dan bersama kita mara ke hadapan.
#InThisTogether
Sekian,
Tony
** Ikuti AirAsia di Twitter (@AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia) untuk maklumat terkini, atau hubungi perkhidmatan pelanggan kami di support.airasia.com. Untuk menyemak status penerbangan anda secara langsung, layari airasia.com/flightstatus.
Sila rujuk kepada Panduan COVID-19 untuk menyemak kelayakan anda dan untuk cara menghantar permohonan bagi pilihan perjalanan baharu.