AirAsia virtual Allstar kini di WhatsApp

AVA.png

SEPANG, 28 Julai 2020 - AirAsia melancarkan saluran sokongan perkhidmatan pelanggan yang lebih mudah dengan AirAsia Virtual Allstar, AVA, yang kini boleh dihubungi melalui aplikasi sembang popular, WhatsApp.

Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan Adam Geneave berkata langkah ini adalah bertepatan dengan situasi terkini kerana mereka menerima jumlah permohonan yang tinggi berikutan COVID-19.

“Di AirAsia, para tetamu adalah keutamaan kami. Sebagai sebuah syarikat progresif dan digital, kami percaya AVA menawarkan standard perkhidmatan pelanggan yang tinggi melalui kecerdasan buatan.

“AVA telah menyelesaikan berjuta-juta kes pada setiap tahun menerusi pelbagai platform seperti Facebook, aplikasi mudah alih kami dan airasia.com, jadi ini adalah masa yang tepat untuk melancarkannya di aplikasi WhatsApp yang mempunyai lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia.

"Tahun ini amat mencabar untuk seluruh industri penerbangan dan ini masa yang penting untuk kami terus memberi sokongan kepada para tetamu dan menyediakan saluran komunikasi pilihan mereka untuk menghubungi kami.

“Seperti teknologi baharu yang lain, kami akan terus belajar dan menyesuaikan diri dalam melatih AVA untuk memberikan perkhidmatan terbaik dari masa ke masa.

“Pada masa ini, lebih 80 peratus kes yang berjaya diselesaikan oleh AVA, dan selebihnya akan dikendalikan oleh Ejen Sembang Langsung untuk bantuan secara terus.”

Hubungi AVA secara langsung di +60 11-3516 5078 melalui Whatsapp atau layari support.airasia.com sebagai alternatif. Saluran ini boleh didapati pada setiap masa dan tetamu hanya perlu menaip “Hi” untuk bantuan.

WhatsApp adalah aplikasi sembang yang dilancarkan pada tahun 2009 dan menawarkan pengguna sistem enkripsi hujung-ke-hujung dan fungsi yang mudah digunakan.

AVA adalah AirAsia Virtual Allstar, bot sembang yang dapat menjawab pertanyaan daripada pelanggan dengan serta-merta dalam sebelas bahasa - Inggeris, Bahasa Malaysia, Thai, Bahasa Indonesia, Vietnam, Korea, Tagalog, Hindi, Jepun, Cina (Ringkas dan Tradisional). Untuk panduan bercakap dengan AVA, sila klik di sini.