AirAsia lancar penerbangan sulung Laluan Perjalanan Bervaksin ke Singapura
SEPANG, 29 November 2021 - AirAsia hari ini melancarkan penerbangan sulung Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) ke Singapura dengan pelbagai promosi dan tawaran menarik.
Penerbangan sulung tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 10.05 pagi hari ini menaiki pesawat Airbus A320neo. Para tetamu yang menaiki penerbangan AK711 telah dihantar oleh Mai Yin Tan, Ketua Komersial Serantau airasia.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata, “AirAsia ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura berikutan penyambungan semula perjalanan di salah satu laluan paling sibuk di dunia antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan Lapangan Terbang Changi Singapura dengan bermulanya Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL).
“Sempena pembukaan sekatan perjalanan ini, AirAsia bersedia untuk mengalu-alukan para tetamu dengan pelaksanaan protokol perjalanan yang ketat demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangan. Semua penerbangan kami dikendalikan kakitangan yang telah divaksin sepenuhnya dan mereka akan terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia. Kami juga telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran dan kemudahan perjalanan untuk para tetamu.”
Para tetamu dari Malaysia yang telah divaksinasi sepenuhnya yang ingin melancong ke Singapura diingatkan untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Singapura sebelum menempah penerbangan mereka dan semasa ketibaan.
Para tetamu boleh menempah penerbangan mereka ke Singapura daripada hanya RM85 sehala untuk perjalanan dari sekarang hingga 26 Mac 2022 dengan menekan ikon 'Flights' pada airasia Super App. Nikmati juga tawaran kombo penerbangan dan hotel bernilai hebat dengan menekan ikon 'SNAP' pada Super App dengan diskaun sehingga 30%. Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon ‘Hotels’ untuk menikmati diskaun tambahan 10% dengan kod promosi AAHOTEL10. Selain itu, tempah perjalanan pergi balik ke/dari lapangan terbang daripada hanya RM55 menggunakan airasia ride, dengan menekan ikon 'Ride' pada airasia Super App.
AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 18 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya. AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. Selain itu, AirAsia menjaminkan standard keselamatan tertinggi, seiring dengan rancangan mitigasi Covid-19 nya yang termasuk hanya menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan, mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan melancarkan sistem pengecaman wajah FACES menjadikan keseluruhan pengalaman perjalanan secara digital.
Walaupun AirAsia hanya menyediakan perkhidmatan terhad selama 18 bulan yang lalu, semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat. AirAsia juga telah menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan sahaja pesawat AirAsia tetapi juga pesawat dari syarikat penerbangan lain. Selain itu, semua juruterbang dan kru kabinnya juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.
Untuk syarat-syarat perjalanan di bawah VTL ke Singapura sila rujuk di sini.
Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.