Pencarian idola maya baharu Project Kavvaii
KUALA LUMPUR, 29 November 2021 - Project Kavvaii, sebuah program untuk mencari dan mengembangkan bakat idola maya oleh airasia Super App, kini mencari bakat baharu sebagai idola maya, berikutan kejayaan Aozora Kurumi, idola maya pertama airasia.
Dua pemenang uji bakat akan menerima kontrak selama satu tahun, selain mendapat sokongan penuh daripada pasukan airasia dan menerima peralatan lengkap untuk bermula sebagai pencipta kandungan. Mereka juga akan diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga airasia dan bekerjasama dengan pasukan khas untuk membantu membentuk dan membina karakter mereka.
Sejak penampilan sulungnya pada Mei 2021, idola maya pertama airasia iaistu Kurumi telah melengkapkan lebih 100 kandungan, mencapai 15 ribu langganan di salurannya dan lebih 4.8 juta tontonan di YouTube.
Ketua Pegawai Jenama airasia Group Rudy Khaw berkata: “Pada asalnya inisiatif ini merupakan idea dan usaha pasukan kami untuk meneroka saluran baharu tetapi kini ianya menjadi satu kenyataan. Kurumi telah membawa kami lebih dekat dengan komuniti VTubing dan kami amat teruja untuk menambah dua lagi watak dalam keluarga idola maya kami.
“Matlamat kami adalah supaya Project Kavvaii berkembang menjadi cabang bakat maya yang menyediakan hiburan dan peluang baharu kepada peminat, jenama, komuniti dan menarik orang ramai untuk meneroka airasia Super App.”
Dilancarkan pada bulan Mac 2021, Project Kavvaii adalah sebuah platform dalam talian bertujuan untuk mempamerkan dan memperkasakan komuniti VTuber di Asean dengan di samping menyatukan bakat dan mengetengahkan identiti Asia Tenggara kepada dunia.
Uji bakat Projek Kavvaii akan dibuka mulai hari ini hingga 31 Disember 2021 untuk mencari bakat VTuber yang boleh mencipta kandungan menarik bagi mengembangkan dan membentuk masa depan komuniti idola maya di Asean.
Selain mencipta kandungan, para peserta haruslah berbakat dalam nyanyian, pengacaraan, bermain permainan dalam talian, berinteraksi dengan komuniti VTuber dan ingin meneroka kerjaya sebagai pencipta kandungan.
Semua peserta harus menghantar video selama 2 minit untuk memperkenalkan diri mereka. Untuk terma dan syarat lengkap dan menghantar penyertaan, layari airasia.com/projectkavvaii.