AirAsia umum pelbagai inisiatif utama untuk menyokong gelembung perjalanan Langkawi

airasia super app mendigitalkan perkhidmatan beli-belah bebas cukai di Langkawi, memperkenalkan penghantaran produk bebas cukai di seluruh pulau, melancarkan airasia ride di Langkawi

LGK.jpg

KUALA LUMPUR, 14 September 2021 - Pengumuman gelembung perjalanan Langkawi yang telah disambut baik oleh rakyat Malaysia sejak ia diumumkan pada minggu lepas akan menjadi pemangkin terhadap permulaan semula sektor pelancongan dan AirAsia Group berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam pemulihan sektor perjalanan.

Transformasi AirAsia sebagai sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup digital kini telah lengkap dan para tetamu kini boleh menempah kenderaan ke lapangan terbang dan di sekitar Langkawi, menempah tiket penerbangan dan penginapan di Langkawi serta membeli-belah produk bebas cukai melalui satu platform, airasia Super App pada nilai dan harga terbaik.  

Sebagai permulaan, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) akan memulakan semula penerbangan ke dan dari Langkawi dengan keseluruhan 90 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (7 kali seminggu), Ipoh (3 kali seminggu) dan Kota Bharu (3 kali seminggu). Lebih banyak laluan dan kekerapan penerbangan akan ditambah dengan permintaan perjalanan yang akan meningkat sejajar dengan pembukaan semula destinasi-destinasi percutian lain tidak lama lagi.  

Para tetamu juga dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lebih menarik dan baik kerana airasia Super App telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk menawarkan perkhidmatan beli-belah bebas cukai secara digital dan tanpa sentuhan di seluruh pulau beserta perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama di seluruh Langkawi menjelang akhir bulan ini. Tidak lama lagi, airasia duty free yang mempunyai 13 peniaga berdaftar di seluruh Asean juga akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penghantaran ke tempat duduk dalam penerbangan, pengambilan di lapangan terbang dan penghantaran ke hotel dan kediaman.

airasia Super App yang kini menawarkan perkhidmatan e-panggilan baru-baru ini juga akan mula beroperasi di Langkawi pada 16 September 2021. Perkhidmatan e-panggilan airasia ride ini boleh ditempah pada ikon ‘Ride’ di airasia Super App atau layari airasia.com/ride

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia dan Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App telah mengumumkan inisiatif-inisiatif ini pada sidang media dalam talian hari ini yang juga dihadiri oleh En. Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

 Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Sejak kerajaan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) gelembung perjalanan Langkawi pada minggu lepas, kami telah melihat peningkatan jualan tiket ke Langkawi, terutamanya dengan tambang rendah RM12 dan kombo SNAP bernilai RM99 oleh AirAsia. Ini jelas menunjukkan permintaan perjalanan yang tinggi dan AirAsia komited untuk menyokong kerajaan, Tourism Malaysia, LADA dan semua pemain industri pelancongan untuk menjayakan program ini dengan menawarkan lebih daripada 90 penerbangan mingguan ke Langkawi. Dari segi operasi, kami telah melaksanakan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan secara meluas dan komprehensif untuk memastikan para tetamu dan kakitangan kami terbang dengan selamat.

“Sistem daftar masuk kendiri melalui airasia Super App adalah inovasi terbaru yang mengintegrasikan data dari penyedia perkhidmatan kesihatan yang diperakui untuk mengesahkan kelayakan perjalanan berdasarkan sijil ujian dan/atau sijil vaksinasi mereka. Prosedur perjalanan komprehensif kami untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para tetamu serta kakitangan kami adalah hasil daripada kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa kesihatan dan penerbangan di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Ini merupakan langkah seterusnya dalam transformasi digital kami dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan anda di dalam penerbangan kami.”

Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata: “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk kembali memacu pemulihan ekonomi dan pelancongan di Langkawi bermula dengan pengenalan perkhidmatan beli-belah bebas cukai baharu untuk para pelancong dengan perkhidmatan penghantaran di seluruh pulau. Pendigitalan perkhidmatan beli-belah bebas cukai di  Langkawi melalui airasia Super App akan menjadikan Langkawi sebagai sebuah destinasi beli-belah bebas cukai dalam talian pertama di Asean, dan ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang kami tawarkan melalui kerjasama dengan LADA dalam jangka panjang. Pada akhir bulan September, buat pertama kalinya di Malaysia, para pelanggan boleh memesan produk bebas cukai di Langkawi secara dalam talian dan menerima barangan tersebut di hotel mereka pada hari yang sama, melalui perkhidmatan ekspres 6 jam Teleport. Untuk kemudahan pelanggan, mereka juga boleh memilih waktu penghantaran atau menggunakan perkhidmatan penerimaan di lobi hotel yang berdaftar dengan kami. Kami juga akan menawarkan penghantaran percuma untuk semua pembelian, serta diskaun khas untuk tetamu airasia di hotel-hotel yang berdaftar dengan kami sempena kempen pelancarannya.

“Kami juga teruja untuk melancarkan perkhidmatan airasia ride di Langkawi pada Hari Malaysia. Perniagaan e-panggilan kami ini menawarkan para penumpang lebih kemudahan, harga lebih kompetitif dan peluang pendapatan yang lebih baik untuk para pemandu. Pada masa ini, kami telah mempunyai beratus pemandu yang telah mendaftar dengan airasia ride di Langkawi dan kami mengalu-alukan lebih ramai pemandu untuk mendaftar bersama kami. 

“Ekosistem airasia Super App juga membolehkan kami untuk bekerjasama dengan LADA dan semua pemain industri lain di Langkawi dengan menawarkan gaya hidup airasia bagi mereka yang bercuti di Langkawi dengan tawaran hotel, SNAP, airasia shop, airasia food, airasia ride dan banyak lagi. Selain menyumbang kepada perkembangan ekonomi di Langkawi, kami juga dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Kami akan terus berganding bahu untuk memulihkan semula industri pelancongan domestik dan terus menjadikan Langkawi sebagai destinasi percutian dan membeli-belah terkemuka di Asean”.

Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi berkata: “Kami percaya inisiatif AirAsia untuk membuka laluan baharu akan membantu meningkatkan potensi Langkawi sebagai sebuah destinasi pulau utama di kalangan pelancong domestik. Kami berharap ketibaan mereka akan membantu memacu ekonomi kami, selain memastikan Langkawi kekal sebagai tempat percutian terkemuka bagi pelancong di seluruh dunia.

“Kepada para pelancong, sila patuhi SOP yang telah ditetapkan semasa menikmati percutian anda di pulau ini. Kami berharap dapat menawarkan lebih banyak pengalaman pelancongan menarik, selamat, dan sihat kepada semua pengunjung. Jemput datang ke Langkawi kerana kami merindui anda!”

Individu yang berminat untuk menyertai airasia Ride boleh mendaftar dengan mudah dengan memuat turun aplikasi pemandu airasia ride atau klik di sini.

Untuk maklumat lanjut mengenai langkah-langkah keselamatan AirAsia dan SOP perjalanan, sila lihat nasihat perjalanan di sini. Untuk SOP di Langkawi, sila klik di sini.

Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.

Promosi terkini di airasia Super App:


News, EnglishYujin Kan -Langkawi