AirAsia rai penerbangan sulung antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Januari 2022 - AirAsia kekal komited untuk menghubungkan orang ramai dengan lebih banyak laluan domestik baharu seperti penerbangan sulungnya antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu hari ini.
Penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu tepat pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang. Para tetamu dalam penerbangan itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu YB Ariffin Deraman, bersama-sama Cik Nur Liyana Mahizzan, Ketua Komersial AirAsia.
Penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala tersedia untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022, untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.
Jadual Penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu
Selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, AirAsia juga telah melancarkan laluan baharu Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu pada awal bulan Januari sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memacu pelancongan domestik.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Laluan baharu ini bukan sahaja akan memperkukuh jejak pelancongan kami di Malaysia, malah ia juga adalah sebahagian daripada persediaan kami untuk kembali menyediakan laluan antarabangsa tidak lama lagi, seterusnya menawarkan lebih banyak pilihan untuk pelancong antarabangsa membuat perjalanan domestik ke pelbagai destinasi pelancongan di Malaysia.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Pelancongan Negeri Sabah kerana sentiasa menyokong semua usaha AirAsia dalam memulihkan industri pelancongan, dan kami berharap dapat terus bekerjasama untuk memacu peningkatan trafik di kedua-dua buah bandar.
“Dari segi operasi, kami telah bersedia dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini.”
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu YB Ariffin Deraman berkata: “Penerbangan sulung menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu ini merupakan detik yang amat istimewa. Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya, kerana ia membantu memeriahkan industri pelancongan domestik, selain menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong tempatan atau antarabangsa untuk melancong di dalam Malaysia.
“Kami akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri.”
Sementara itu, Noredah Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah berkata: “Destinasi pelepasan baharu ke Sabah adalah penting untuk industri kami. Ia menjadikan kami lebih mudah diakses oleh para pelancong yang berkunjung ke Malaysia untuk ke Sabah sebagai satu lagi destinasi percutian mereka. Kemasukan semasa pelancong domestik dari Terengganu berkemungkinan besar adalah daripada kategori pelawat keluarga dan rakan-rakan (VFR). Sabah dan Terengganu berkongsi persamaan yang mana kedua-duanya mempunyai tapak menyelam yang hebat, dan kami menjangka ia akan memberi peluang kepada peminat selam di Terengganu untuk menerokai tapak selam kami. Selain itu, kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia dan mereka yang menetap di Terengganu untuk menerokai Sabah dan menikmati tawaran pelancongan dan kebudayaannya.”
AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya. AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.
Selain itu, AirAsia menjaminkan standard keselamatan tertinggi, seiring dengan rancangan mitigasi Covid-19 nya yang termasuk hanya menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan, mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan melancarkan sistem pengecaman wajah FACES menjadikan keseluruhan pengalaman perjalanan secara digital. Walaupun AirAsia hanya menyediakan perkhidmatan terhad selama 20 bulan yang lalu, semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat. AirAsia juga telah menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan sahaja pesawat AirAsia tetapi juga pesawat dari syarikat penerbangan lain. Selain itu, semua juruterbang dan kru kabinnya juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.
Untuk maklumat lanjut mengenai langkah keselamatan dan SOP perjalanan AirAsia, sila baca nasihat perjalanan terkini di sini.
Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.