Capital A sedia tawaran perjalanan dan gaya hidup berpatutan dan mudah kepada anggota Koperasi Polis melalui airasia Super App
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022 - Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad), syarikat pegangan pelaburan untuk kumpulan syarikat penerbangan AirAsia, airasia Super App, BigPay, Teleport dan Redbeat Ventures memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KOP Mantap Berhad, anak syarikat milik penuh Koperasi PDRM untuk meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak.
MoU tersebut ditandatangani hari ini oleh Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, yang juga Lembaga Pengarah airasia Super App dan Datuk Wan Nazri Wan Aria, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, KOP Mantap Berhad; disaksikan oleh Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Negara dan YBhg Dato’ Hasanuddin Hassan, Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia.
Antara saluran kerjasama yang sedang diterokai adalah kemungkinan untuk mempromosikan pelan langganan airasia SUPER+ yang dilancarkan baru-baru ini kepada ahli Koperasi PDRM.
Pelan langganan SUPER+ ialah versi produk Unlimited yang telah dipertingkatkan selepas ia ditawarkan pada tahun lepas, yang membolehkan mana-mana pelanggan SUPER+ terbang ke destinasi domestik dan antarabangsa secara percuma sepanjang tahun, menerima perlindungan insurans COVID sebelum berlepas serta menikmati penghantaran makanan percuma ke seluruh negara Asean yang airasia food beroperasi.
Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Koperasi PDRM melalui KOP Mantap yang berada di bawah naungan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sendiri. Gaya hidup airasia diterajui oleh nilai hebat untuk semua tetamu dan pelanggan kami, tidak kira dalam menghubungkan orang ramai melalui udara dengan pesawat AirAsia, atau di darat melalui semua perkhidmatan penghantaran kami seperti airasia food, airasia ride, airasia xpress dan banyak lagi. Kini, anggota Pasukan Polis dan keluarga mereka akan turut menikmati kelebihan ini.
“Kerjasama dengan KOP Mantap Berhad melalui Polis Diraja Malaysia akan menawarkan lebih 100,000 anggota di seluruh negara pengalaman perjalanan dan gaya hidup yang lebih berpatutan dan mudah melalui airasia Super App dan pelan langganan SUPER+ kami.
“Kami berharap dapat berkhidmat kepada komuniti Koperasi PDRM, bukan hanya melalui satu produk tetapi melalui potensi kerjasama produk dan perkhidmatan lain di bawah Capital A. Produk kami adalah untuk semua orang, dan kami mengalu-alukan lebih banyak peluang kerjasama untuk terus menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan,” tambah Datuk Kamarudin Meranun.
MoU ini juga membuka peluang kepada bahagian perniagaan lain di bawah Capital A seperti BigPay dan IKHLAS untuk meneroka potensi kerjasama dengan KOP Mantap.