Kempen #TimeToListen Capital A menyerlahkan kepelbagaian dan memberi suara kepada artis Malaysia Airliftz

  • Cabang hiburan airasia Super App, RedRecords menandatangani Airliftz sebagai artis Malaysia pertamanya

  • Airliftz lancar single pertamanya “NOT TODAY”

Dari kiri: Dinesh Raj; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes; YB Datuk Senator Ras Adiba Radzi; Airliftz dan Solomon pada majlis pelancaran kempen #TimeToListen Capital A hari ini.

KUALA LUMPUR, 4 Mac 2022 - Selepas melancarkan video kempen #TimeToListen yang menyerlahkan kepelbagaian dan menonjolkan mereka yang berjaya mengatasi prejudis dan diskriminasi sosial serta menyediakan platform untuk mereka bersuara, Capital A hari ini mengumumkan salah seorang dutanya Airliftz telah menandatangani perjanjian dengan RedRecords, cabang hiburan airasia Super App. 

Dibesarkan di Kajang, Aliff Shaharom, 23, yang menggunakan nama Airliftz dilahirkan tanpa  tulang hidung, dikenali dengan penampilan yang berbeza. Dalam video berdurasi lima minit yang dilancarkan pada minggu lalu, pemuzik muda itu bercerita tentang perjuangannya dalam mengatasi prejudis dan diskriminasi semasa membesar.

Penyani rap dan penerbit Aliftz berkata, “Saya amat berbesar hati kerana dapat berkongsi kisah hidup saya untuk kempen #TimeToListen dan memberi inspirasi kepada semua melalui mesej yang disampaikan. Saya bersyukur kerana diberi platform bersuara dan kini yakin untuk menghadapi dunia dengan muzik yang bakal menggegarkan industri melalui perjanjian dengan RedRecords. Single berunsurkan pop-punk, “NOT TODAY” ini diambil daripada kisah hidup saya tentang halangan dan cabaran yang telah dihadapi, dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada perubahan bagi mereka yang bersedia untuk mendengar.”

Eksekutif Strategi Kandungan AirAsia Izal Azlee berkata, “Kami terharu dengan kisah ketabahan dan keazaman Airliftz sehingga kami memilihnya sendiri untuk menyampaikan mesej untuk kempen #TimeToListen ini. Kami percaya bahawa beliau adalah pilihan tepat untuk memberi inspirasi dan mewakili generasi ini, selain menyediakan platform untuk mereka terus bersuara. Kami ingin menjemput orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif ini dan menyokongnya di www.airasia.com/timetolisten.”

Perjalanan Aliff sebagai seorang artis muda dalam genre pelbagai kini hampir satu dekad. Sejak permulaan kerjayanya pada tahun 2016, Airliftz telah berulang kali membuktikan dirinya kepada orang ramai dengan menentang kemungkinan pelbagai cabaran, mencapai tahap baharu dan mengatasi kesusahan – semuanya dilakukan dengan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif RedRecords Hassan Choudhury berkata, “Pertama kali bertemu Airliftz, kami terharu dengan kisahnya dan terpesona dengan bakat serta auranya sebagai satu bintang yang sedang berkembang. Justeru, kami terus menandatanganinya sebagai artis Malaysia pertama kami. Sebagai sebuah syarikat usaha sama dengan Universal Music Group, kami amat berbangga dengan apa yang telah beliau capai dalam industri muzik, terutamanya single pertamanya yang akan tersedia di semua platform muzik tidak lama lagi. Kami percaya ia akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk turut menceritakan kisah hidup mereka.”

Single NOT TODAY yang dilancarkan khas untuk kempen #TimeToListen akan tersedia pada semua platform digital mulai 12 tengah malam pada 11 Mac 2022, dan video muziknya akan ditayangkan pada hari yang sama jam 9 malam di saluran YouTube Airliftz.

Dihoskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Group, Tan Sri Tony Fernandes, majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Datuk Senator Ras Adiba Radzi, Airliftz, Dinesh Raj - Allstar yang kurang upaya dari segi fizikal berikutan kemalangan, serta Solomon - pemandu kereta airasia ride dengan kecacatan pendengaran.