Penerbangan Air New Zealand kini tersedia di airasia Super App
KUALA LUMPUR, 29 APRIL 2022 - Senarai syarikat penerbangan terkenal yang tersedia di platform Ejen Perjalanan Dalam Talian (OTA) airasia Super App terus berkembang apabila Air New Zealand menjadi syarikat penerbangan terbaharu yang membenarkan penjualan penerbangannya pada aplikasi super yang paling pesat berkembang di rantau ini.
Melalui kerjasama komersil ini, penerbangan Air New Zealand akan tersedia untuk tempahan pada ikon ‘Flights’ di airasia Super App, membawakan pengalaman sebenar warga ‘Kiwi’ kepada semua pelanggan dan bakal menghubungkan pengembara ke lebih 20 destinasi di New Zealand seperti Auckland, Queenstown, Christchurch dan banyak lagi. Dengan idea inovatif, produk atas kapal, reka bentuk aeronautik, identiti jenama dan perkhidmatan pelanggan, Air New Zealand telah memenangi pelbagai anugerah, yang terbaru ia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Paling Selamat Dunia 2022 oleh AirlineRatings.com.
Selain Air New Zealand, platform OTA airasia Super App juga menyediakan lebih 700 syarikat penerbangan lain sebagai rakan kongsi mereka.
Mengulas mengenai pengumuman kerjasama ini, Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata, “airasia Super App ialah platform OTA yang lengkap dan disokong oleh banyak data yang telah kami kumpulkan sejak dua dekad yang lalu, menjadikannya sebuah pasaran global yang terbaik untuk syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk mencapai khalayak sasaran yang betul. Sejak kami bergelar OTA sepenuhnya pada Oktober tahun lepas, kami telah menyaksikan pertumbuhan dua digit bulan ke bulan untuk tempahan syarikat penerbangan lain melalui platform OTA kami.
Kami ingin mengalu-alukan penyertaan Air New Zealand ke dalam platform OTA kami, dan kami berharap untuk menyediakan tawaran yang terbaik kepada para pengembara bersama rakan kongsi penerbangan lain melalui airasia Super App”
Jonathan Zhang, Pengurus Besar Asia Air New Zealand mengulas "Dengan pembukaan semula sempadan, kami teruja untuk mengalu-alukan kembali pelancong antarabangsa menaiki Air New Zealand melalui platform airasia Super App. Kami akan terus menawarkan pelbagai pilihan, fleksibiliti dan pengalaman ‘Kiwi’ unik kami kepada para pelanggan untuk terbang dengan selesa dan yakin."
Selain penerbangan untuk syarikat penerbangan lain, platform OTA airasia Super App juga menyediakan lebih 1.4 juta pilihan hotel di seluruh dunia melalui kerjasamanya bersama beberapa jenama terkemuka seperti Trip.com, MG Group, WebBeds dan banyak lagi. Pihak yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada platform OTA airasia Super App boleh terus berhubung melalui aacompartners@airasia.com
Ikuti perkembangan terkini perkhidmatan e-dagang airasia Super App @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook! Untuk pengalaman yang lancar dan dipertingkatkan, muat turun airasia Super App anda melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sekarang.
*** TAMAT ***