Tabung IKHLAS for Palestine kumpul RM170,000, sasar RM1 juta untuk bantu 7,000 keluarga di Palestin

Keterangan gambar: (Dua dari kanan) Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan dan Presiden MAHAR, Jismi Johari ketika penyerahan dana IKHLAS for Palestine berjumlah RM170,250 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 2 November 2023 – Tabung kemanusiaan IKHLAS for Palestine yang diaktifkan semula oleh Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com) bersama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) sejak 25 Oktober lalu berjaya mengumpul sejumlah RM170,250 dalam tempoh seminggu.

Jumlah itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghantar bantuan kemanusian dalam bentuk bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga yang terkesan di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya mensasarkan kutipan keseluruhan berjumlah RM1 juta yang dijangka dapat membantu hampir 7,000 keluarga mangsa yang terkesan akibat serangan tentera Zionis Israel di Semananjung Gaza.

“Sebanyak 100% daripada hasil kutipan tabung kemanusiaan IKHLAS for Palestine akan disalurkan terus kepada rakyat Palestin. Ini merupakan kesinambungan hasil usahasama ikhlas.com dengan MAHAR yang mempunyai pengalaman dan sumber jaringan bantuan di wilayah bergolak itu.

“Kami menggesa rakyat Malaysia turut serta menyumbang samada menerusi aplikasi atau laman web ikhlas.com agar lebih banyak mangsa boleh dibantu dengan segera,” kata Ikhlas.

Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata: “Kami akan menggunakan hasil kutipan untuk fasa pertama yang dijangka mencecah RM1 juta itu untuk tujuan bantuan kecemasan seperti makanan panas, barangan keperluan asas, bekalan perubatan, air dan lain-lain.

“Walaupun masih berlaku sekatan ke atas penghantaran bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza namun kami akan lakukan sedaya mungkin untuk memastikan rakyat Palestin yang terputus bekalan asas menerima bantuan secepat mungkin,” kata Jismi.

Beliau turut menambah bahawa pada 3 November ini, MAHAR akan bergabung dengan 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan dan barangan keperluan lain ke Gaza melalui sempadan Rafah.

Tabung IKHLAS for Palestine bermula pada Mei 2021 yang bertujuan untuk menghantar bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka diserang oleh tentera Zionis. 

Untuk menyumbang kepada tabung kemanusiaan IKHLAS for Palestine, muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store atau laman web https://ikhlas.com/sadaqah/ms/my/ikhlas-for-palestine/.