AirAsia lancar semula Program Kadet Juruterbang

SEPANG, 8 Mac 2023 – AirAsia melancarkan semula Program Kadet Juruterbang popularnya selepas dua tahun berikutan pandemik untuk menggalakkan orang ramai yang ingin membina kerjaya di awan biru untuk menyertainya.

Program Kadet Juruterbang ini adalah kursus khas selama 24 bulan bagi memberi persediaan kepada bakal juruterbang dengan latihan dan kelayakan yang mereka perlukan. Program ini yang bermula pada tahun 2004 telah mengambil ramai calon kadet juruterbang termasuklah wanita yang kini telah menjadi Pegawai Pertama, Juruterbang Kanan dan Kapten di AirAsia.
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023, AirAsia berharap untuk menarik lebih ramai wanita untuk mendaftar dalam program tersebut dan menambah jumlah juruterbang wanita yang semakin berkembang. Syarikat penerbangan ini juga merupakan pemacu dalam memperkasakan penglibatan wanita dalam industri penerbangan yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki, daripada juruterbang, jurutera hingga ke ejen ramp. Lebih sedekad lalu, AirAsia telah menjadi syarikat penerbangan pertama di Asean yang membuka pintu kepada juruterbang wanita iaitu Kapten Norashikin Onn, yang juga merupakan juruterbang komersial wanita pertama di Malaysia. Sejak itu, ia telah mengambil 157 juruterbang wanita di seluruh kumpulan termasuk Kapten AirAsia Indonesia Monika Anggreini, dan Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, yang bermula sebagai kru kabin sebelum menjadi kapten wanita pertama yang mengendalikan pesawat Airbus A330 di Thailand.

Program ini telah merealisasikan impian ramai orang, termasuk wanita yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang sejak ia mula dilancarkan. Dua daripada kadet juruterbang wanita pertama menerusi program ini iaitu Kapten Ilyana dan Kapten Noor Hafizah, kini telah berkhidmat di AirAsia selama 17 tahun. Pada tahun 2019 sahaja, seramai 44 orang wanita telah mendaftar dalam program ini, di mana hampir semuanya kini bergelar Pegawai Pertama di AirAsia.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami akan memulakan semula Program Kadet Juruterbang selepas dua tahun, dan ini adalah tempoh yang amat istimewa bagi kami. Dalam pada kami beroperasi pada kapasiti penuh secara beransur-ansur, kami telah melihat lonjakan permintaan terhadap industri pelancongan. Justeru, dengan tambahan jumlah pesawat bagi memenuhi permintaan ini, kami pastinya akan menambah bilangan juruterbang ke dalam keluarga besar kami. 

“Saya berharap semua orang yang mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang tidak melepaskan peluang untuk menyertai program kami. Di AirAsia, kami berbangga kerana menjadi sebuah organisasi yang memberikan peluang yang sama rata kepada semua dan mengalu-alukan juruterbang wanita untuk menyertai keluarga kami. Kerjaya sebagai juruterbang sememangnya amat menarik dan juruterbang senior sentiasa bersedia untuk membimbing kadet kami. Jadi jika anda berminat dan memenuhi kelayakan, sertai kami untuk membina kerjaya di udara.”

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan sebagai kadet juruterbang AirAsia, imbas kod QR dalam imej di atas atau layari pautan ini.

AirAsia mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua wanita!