AirAsia sokong kempen Sukan SEA 2023, satukan Asean melalui rangkaian luas
PHNOM PENH, 3 Mei 2023 - AirAsia berbangga untuk menyokong kempen #BeyondTheGames di bawah Kesatuan Persekutuan Belia Kemboja (UYFC) dalam menyokong Kemboja menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023 akan datang. Sukan SEA Kemboja 2023 adalah acara Sukan SEA pertama yang dihoskan oleh negara itu.
Bagi menyokong kempen itu, AirAsia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UYFC merangkumi kerjasama komersial dan perkongsian strategik antara syarikat penerbangan dan organisasi itu, termasuk mempromosikan jenama AirAsia semasa kempen tersebut.
Sempena majlis menandatangani MoU tersebut, AirAsia turut melancarkan pesawat dengan rekaan khas #BeyondTheGames yang akan diterbangkan merentasi rangkaian domestik dan antarabangsa AirAsia Malaysia (AK) yang luas, terutamanya di rantau Asean. Ini menawarkan peluang besar untuk mempromosikan sektor pelancongan Kemboja semasa dan selepas acara sukan tersebut.
Pesawat dengan rekaan khas tersebut telah dilancarkan oleh Vissoth Nam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Sok Sabayna, Pengarah Eksekutif Kempen #BeyondTheGames dan Setiausaha Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan serta Puan Laurence Erbs, Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di lapangan terbang tersebut.
Tuan Yang Terutama Sok Sabayna, Pengarah Eksekutif kempen #BeyondTheGames dan Setiausaha Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan berkata: “Kami berbangga kerana Kemboja menjadi tuan rumah buat kali pertama bagi Sukan SEA ke-32 dan Sukan Para ASEAN ke-12, kerana kami bukan sahaja mendapat peluang untuk mempromosikan dua acara sukan tersebut, malah melaluinya kami dapat mempamerkan kebanggaan dan prestij negara kami di mata dunia.”
Vissoth Nam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia berkata: “Sukan adalah bahasa universal yang menyatukan kita semua tanpa mengira asal usul, budaya, agama, dan latar belakang. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, AirAsia telah menyokong pelbagai inisiatif dan kerjasama di dalam bidang sukan selama ini, termasuk Sukan SEA pada sebelum ini.
“Kami berbangga kerana dapat menyokong inisiatif #BeyondTheGames 2023 dan menjadi sebahagian daripada Sukan SEA yang bersejarah di Kemboja bersama-sama dengan rakyat dari seluruh rantau ini. Acara sukan yang paling ditunggu-tunggu ini adalah contoh terbaik mengenai apa yang boleh dicapai oleh rantau ini, dan kami berbesar hati kerana berpeluang mempromosikan wawasan perpaduan ini melalui rangkaian luas kami.
“Kami tidak sabar untuk menerbangkan pesawat A320 dengan rekaan khas kempen #BeyondTheGames dengan slogan “Hearts Beat in Sync” di seluruh rantau ini.”
Cyril Girot, Ketua Pegawai Eksekutif Cambodia Airports, pemaju dan pengendali tiga lapangan terbang antarabangsa di Kemboja dan ahli rangkaian Lapangan Terbang VINCI berkata: “Kami berterima kasih kepada rakan kongsi kami kerana memberi peluang kepada pasukan lapangan terbang kami untuk memainkan peranan dalam kempen #BeyondTheGames. Kami berkongsi nilai kempen ini dan mematuhi prinsip inklusif serta pendekatan tumpuan pelancongannya.
“Selepas kejayaan mengendalikan para tetamu kenamaan dan peserta di lapangan terbang kami semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat pada tahun 2022, kami mensasarkan untuk menawarkan pengalaman lapangan terbang yang sama untuk pelawat Sukan SEA dan delegasi dari 11 negara.”
AirAsia Malaysia (AK) kini mengendalikan 22 penerbangan mingguan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh dan Siem Reap.