AirAsia raih anugerah Platinum dalam kategori perjalanan di Putra Brands Awards
Keterangan Gambar: (Keempat dari kiri) Ketua Komersial, Liyana Mahizzan bersama Allstars menerima anugerah Platinum di Anugerah Putra Brand 2023 semalam.
KUALA LUMPUR, 20 Januari 2024 - AirAsia terus menjadi pilihan utama dalam perkhidmatan perjalanan udara dengan meraih anugerah Platinum di majlis Putra Brand Awards 2023 dalam kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan.
AirAsia meraih anugerah tertinggi mengatasi syarikat-syarikat terkemuka di dalam industri perjalanan.
Anugerah ini menerima lebih daripada 11,000 maklum balas daripada pengguna di seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam tinjauan keutamaan pengguna untuk menentukan jenama pilihan mereka dalam 24 kategori produk dan perkhidmatan berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia brand co, Rudy Khaw berkata: "Sebagai syarikat penerbangan dan jenama pilihan ramai, AirAsia berbangga untuk menghubungkan komuniti, memacu pertumbuhan ekonomi dan merealisasikan impian para tetamu kami. Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini setelah memulakan operasi sepenuhnya pada tahun 2023 dan menerbangkan hampir 61 juta penumpang pada akhir tahun. Kami mengucapkan terima kasih kepada para tetamu yang terus memberikan sokongan dan motivasi untuk meningkatkan perkhidmatan kami dengan lebih baik sebagai sebuah jenama.
“Dalam meraikan pengiktirafan ini, kami juga yakin akan kepentingan untuk sentiasa maju ke hadapan dan terus kekal relevan dalam industri yang dinamik serta berdaya saing ini. Sebuah jenama yang kukuh tidak harus bersandarkan pada logo semata-mata, tetapi ia harus mencerminkan nilai yang menjadi kepercayaan berjuta-juta para tetamu kami. Kami akan sentiasa berusaha untuk mmbawa jenama kami ke tahap yang lebih tinggi dengan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu dan mengekalkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan pilihan, selain menerokai peluang baharu pada masa hadapan.”
Putra Brand Awards merupakan inisiatif Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) bertujuan untuk mengiktiraf jenama tempatan dan antarabangsa yang telah memberi impak kepada rakyat Malaysia. Ia adalah satu-satunya anugerah yang dipilih oleh pengguna tempatan.