ikhlas.com, Halo Telco bergabung lancarkan Sahabat IKHLAS

Keterangan gambar: (Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Shukex Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin dan Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan pada Majlis Pelancaran Sahabat IKHLAS di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2024 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan Sahabat korporat, Halo Telco melancarkan program Sahabat IKHLAS dalam usaha membantu orang ramai menjana pendapatan sampingan menerusi penjualan pakej umrah, kembara mesra Muslim dan perkhidmatan gaya hidup Islam termasuk korban, aqiqah, zakat dan banyak lagi.

Inisiatif itu menampilkan gabungan usahasama antara ikhlas.com dan Halo Telco bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dengan menawarkan pelbagai kelebihan termasuk peluang menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan selain manfaat perubatan, potongan harga untuk penerbangan AirAsia dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, “Usahasama ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjana komisen yang lumayan dengan membantu bakal jemaah melaksanakan umrah dengan pakej-pakej IKHLAS Umrah pada harga yang berpatutan.

“Sahabat IKHLAS turut menikmati pelbagai kelebihan lain termasuk peluang mengerjakan ibadah umrah secara percuma, elaun asas dan diskaun hebat bagi semua penerbangan AirAsia sekiranya berjaya mencapai status Sahabat IKHLAS Allstar dengan syarat menerbangkan sekurang-kurangnya 200 jemaah setahun,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Shukex Rahim berkata, “Halo Telco akan menyemarakkan lagi pencarian ejen dengan siri jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan kelebihan dan cara-cara menjadi Sahabat IKHLAS selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Menariknya, Sahabat IKHLAS hanya perlu masuk pejabat dua kali seminggu tapi berpeluang menikmati kelebihan seperti elaun bulanan, potongan KWSP, PERKESO dan zakat selain perlindungan perubatan untuk keluarga mereka,” katanya.

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Muslim direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain IKHLAS Umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, ikhlas.com turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban.

Untuk maklumat lanjut tentang tawaran terhad ini, sila hubungi hotline Sahabat IKHLAS di talian 011-5304 7070.